|
Bernama.com Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Tisu Kultur Jana Pembiakan 100 Ribu Anak Pokok Dalam Sebulan Am 22 November, 2006 10:00 AM |
|
SERDANG, 22 Nov (Bernama) -- Teknik moden pembiakan anak benih secara tisu kultur mampu menjana pembiakan berganda dengan skala 100 ribu anak pokok pisang dalam tempoh sebulan.
Perunding tisu kultur Worldlab, Mohd Azad Azzam berkata teknik ini dapat menggandakan anak benih dari satu umbi induk tanaman yang terpilih kepada banyak klon baru yang mempunyai sifat dan kualiti yang sama. "Teknik ini mempunyai banyak kelebihan berbanding pembiakan konvensional kerana ia dapat mengganda dengan cepat anak-anak benih pelbagai jenis pokok dalam tempoh yang singkat iaitu dengan nisbah sebulan bagi tisu kultur berbanding setahun bagi teknik biasa," katanya kepada Bernama di pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) 2006 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di sini, hari ini. Mohd Azad berkata berbeza dengan teknik biasa yang kualitinya semakin berkurangan, teknik tisu kultur mengekalkan kualiti asal induk tanaman. Untuk itu, Pusat Penyelidikan dan Kultur Tisu Worldlab, yang mula beroperasi sejak September lepas, bertanggungjawab menghasilkan klon-klon yang bermutu dan berkualiti serta konsisten untuk pasaran. Pusat itu yang terletak di bawah anak syarikat Kumpulan Syarikat Synergy iaitu Benih Tulin Sdn Bhd kini beroperasi di Ara Kuda, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang telahpun menghasilkan anak-anak pokok pisang cavendish yang berasal dari Cuba untuk ditanam sendiri oleh pihak syarikat ini, di samping memenuhi permintaan daripada pengusaha tempatan, katanya. Mohd Azad berkata pusat itu yang mempunyai lima orang pakar tisu kultur turut bertangungjawab memastikan klon yang dihasilkan mempunyai kerintangan tinggi serta bebas jangkitan penyakit. Beliau berkata misi pusat itu adalah untuk menjadi pusat penyelidikan yang terkenal di rantau Asia serta meletakkan nama negara di peta bioteknologi pertanian dunia. -- BERNAMA |
| Copyright © 2010 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA. Disclaimer |