Bernama.com
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia

'Mat Kilau Pejuang Yang Dilabelkan Pemberontak'
Rencana
22 Ogos, 2006 10:44 AM
Oleh Tuan Sharifah Shahaini dan Zafri Razali

KUANTAN, 22 Ogos (Bernama) -- Bagi Mohamed bin Ibrahim, tindakan pihak British yang mahu memperkenalkan Sistem Residen menyebabkan dia "mengamuk" sehingga membunuh lima askar British di Balai Polis Lubuk Terua, Lanchang, Pahang.

Peristiwa yang berlaku pada 1891 itu juga menyebabkan dia kemudiannya dilabelkan sebagai "pemberontak" dan menjadi buruan pihak British.

Mungkin ramai tidak mengenali siapa Mohamed bin Ibrahim, namun jika disebut "Mat Kilau", namanya gah dan disenaraikan sebagai pejuang bangsa Melayu yang menentang penjajahan British pada peringkat awal.

Namanya itu juga menjadi sebutan Residen British di Pahang Sir Hugh Clifford ketika itu.

Anak kepada pembesar negeri Pahang, Katib Rasu Tok Shahrum itu dilahirkan pada 1847 di Kampung Pulau Tawar, Jerantut, merupakan pejuang termuda di Pahang yang menentang British bersama-sama ayahnya atau lebih dikenali sebagai "Tok Gajah".

Selepas peristiwa itu jugalah, maka bermulalah siri "perang gerila" antara "puak pemberontak" itu dengan pihak British.

Generasi kini mungkin ramai yang tidak tahu erti perjuangan dan pergorbanan Mat Kilau.

Kenapa Mat Kilau menentang British?

Menurut cucu Mat Kilau, Alhamadi Abu Bakar, 40, penentangan terhadap pihak British ketika itu lebih kepada mempertahankan agama, selain bangsa dan tanahair.

"Saya pernah tanya kepada to'ki (Mat Kilau) kenapa dia lawan orang putih dan dia jawab orang putih nak sebarkan Kristian mungkin sebab takut Islam semakin kuat di Asia terutama di Kelantan dan Acheh hingga mendapat jolokan Serambi Mekah.

"Kata Mat Kilau, pihak British kata mereka mahu menjalankan perdagangan rempah ratus namun persoalan yang perlu dijawab adakah `orang putih' makan asam jawa, kunyit dan sebagainya?

"Mat Kilau sedar bahawa pihak British selain mahu menjajah mereka juga mahu menyebarkan ajaran Kristian berbanding niat asal kononnya ingin menjalankan perdagangan rempah ratus dan bijih timah," katanya.

Namun yang sedih katanya, dalam usaha menentang penjajahan ada di kalangan rakyat tempatan sendiri yang menerima dakyah British bahawa Mat Kilau bersama bapa dan Tok Bahaman sebagai puak pemberontak yang ingin membuat huru-hara di Pahang.

"Kebanyakannya mendakwa pahlawan Pahang seperti Mat Kilau adalah pemberontak yang cuba menghancurkan tanahair sendiri, sepatutnya, kita panggil pejuang, yang serang kita (British) itu sebenarnya pengganas, adakah kita tergamak panggil saudara-mara atau bangsa kita sendiri sebagai pemberontak?

"Contohnya kalau kita baca buku sejarah sekolah menengah ada sebut tentang pemberontakan di Pahang, Perak, di Terengganu, Pemberontakan Zaman Ibrahim Limbong..sepatutnya, perkataan perjuangan yang lebih tepat," katanya kini seorang Guru Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan Mat Kilau, Kuantan.

MAT KILAU MASIH HIDUP?

Mat Kilau masih hidup?

"Kepahlawanan orang Melayu tidak boleh disamakan seperti suatu mitos atau seperti cerita hitam putih yang boleh diwarnakan semula dengan pelbagai rona, saya juga mendengar pelbagai cerita mengenai perkara itu.

"Mat Kilau telah meninggal dunia pada 16 Ogos 1970. Yang mati tak kan hidup semula. Cuma kita harap semangat perjuangannya terus hidup," kata Alhamadi.

Alhamadi turut sedih kerana terdapat pelbagai cerita kononnya Mat Kilau masih hidup dan bertapa di kawasan pergunungan, di Kota Gelinggi dan Gunung Ledang.

"Yang paling tidak masuk akal ada yang kata Mat Kilau masih hidup jual air batu dan jual ubat tradisional..hendak tulis atau bercerita boleh tetapi janganlah sampai begitu sekali," katanya.

Beliau berkata Mat Kilau telah meninggal dunia ketika berusia 122 tahun dan dia tidak akan kembali di dunia ini yang kekal hanya semangat perjuangan dan keberanian bersama tokoh-tokoh seangkatan dengannya.

MAKAN BUBUR PANAS TENTANG PENJAJAH

Menyingkap perjuangan Mat Kilau, Alhamadi berkata sejak kecil lagi Mat Kilau diajar ilmu agama, persilatan, perubatan dan kepimpinan.

Sejak berusia 12 tahun Mat Kilau dihantar ayahnya dan ibunya Toh Mahda Tok Kaut ke Terengganu untuk mendalami pengajian Al-Quran dan Hadis selain mempelajari ilmu persilatan.

"Penentangan terhadap British bermula di rumah ayahnya (Tok Gajah) sebelum bertindak menyerang askar British di Balai Polis Lubuk Terua di Lanchang pada 1891 dan serangan tersebut disebabkan oleh kemarahannya terhadap British yang memaksa ayahnya menerima Sistem Residen.

"Ia membuatkan Mat Kilau yang juga digelar Katib Rasu dan pengikutnya mengamuk membunuh lima orang British dan beberapa lagi askar upahan di Pulau Tawar dengan kaedah perang ala gerila iaitu serang..lari, serang..lari,"katanya.

Katanya, sebelum meninggal dunia, Mat Kilau pernah menceritakan segala peristiwa dan pengalaman yang ditempohinya sepanjang perjuangannya menentang penjajah itu kepada isteri dan anak-anaknya.

Alhamadi berkata prinsip peperangan Mat Kilau ketika berperang ialah seperti makan bubur panas.

"Kalau nak mengalahkan sesuatu yang kuat tak boleh terus masuk ke tengah..bahaya..perlu dari tepi secara perlahan-lahan macam kaedah makan bubur panas.

"Kalau terus mengamuk kita akan mati dan ini sebenarnya taktik perang gerila dan pada saya falsafah ini satu cara untuk mengubah diri agar kita memulakan sesuatu secara perlahan-lahan dan jangan cepat nak berubah kerana ia tak akan berjaya sebaliknya akan membinasakan diri," katanya.

Mat Kilau yang berkahwin dengan Ajrah Bakar di Tanjung Medang, Pekan, pada 1926 juga pernah menggunakan beberapa gelaran ketika menjadi buruan pihak British antaranya Mat Siam, Mat Dahan dan Mat Dadu.

Katanya, Mat Kilau juga pernah ditembak dan kesan tembakan itu ada pada bahagian bahunya namun ia tidak pernah mematahkan semangat perjuangannya.

PAHLAWAN YANG KIAN DILUPAKAN

Perjuangan Mat Kilau mungkin tidak sampai memerdekakan atau membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan British. Namun perjuangan awal merekalah, bangsa Melayu mula sedar bahawa mereka perlu bebas daripada belenggu penjajahan.

Bagi Alhamadi, keberanian penjajah hanyalah pada meriam dan senapang namun pahlawan Melayu sanggup bertempur walau tanpa bersenjata bagi mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan tanahairnya.

"Perjuangan Mat Kilau patut dikenang dan diketahui oleh semua kerana ia adalah sebahagian daripada riwayat atau sejarah Melayu yang perlu dipertahankan. Mat Kilau sendiri semasa hayatnya pernah berpesan agar jasa pahlawan-pahlawan terdahulu tidak dilupakan begitu sahaja.

"Malah kemerdekaan itu juga mesti dipertahankan kerana pahlawan dulu berusaha gigih untuk memerdekakan tanahair sendiri mereka sanggup tinggalkan rumah, isteri, dan anak demi perjuangan," katanya.

"Mat Kilau berjuang secara ikhlas, dia anak seorang pembesar negeri, bukan harta benda dicari, setidak-tidaknya jasanya dikenang, diabadi untuk tatapan generasi kini," katanya.

Alhamadi turut berharap pihak-pihak tertentu memartabatkan perjuangan Mat Kilau dan golongan pengkaji sejarah, penyelidik perlu mengabadikan perjuangan itu dalam kajian mereka untuk tatapan generasi akan datang.

-- BERNAMA

Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA. Disclaimer