Bernama.com
Rencana 11 Mac, 2010 15:22 PM
 
Melihat Dunia Dari Dalam Kereta Api


Oleh Nurul Halawati Azhari

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama)-- Perjalanan menaiki kereta api sungguh pun memakan masa yang lebih panjang berbanding kapal terbang , namun masih lagi digemari terutama oleh mereka yang gemar bercuti dan melancong.

Apatah lagi buat pelancong yang gemarkan suasana yang lebih santai, asli sambil melewati pemandangan indah dan kawasan-kawasan bersejarah yang ditempuhi dalam perjalanan mereka.

Hanyut dalam khayalan sendiri tanpa gangguan lalu lintas dan bunyi hon kenderaan yang bertali arus di atas lebuh raya, sambil telinga hanya ditemani bunyi enjin kereta api, ia sebuah perjalanan yang penuh nostalgia.

Malah adakalanya dianggap perjalanan yang romantis apabila dikaitkan dengan kisah-kisah cinta romantis dari filem Hollywood, Bollywood dan juga Korea.

Jika diimbas kembali sejarah awal pembinaan kereta api, tujuan asalnya ialah untuk mengangkut barang dagangan dan galian, akhirnya perlahan-lahan ia terus berkembang sebagai satu daripada rangkaian pengangkutan utama di dunia.

Hari ini, perjalanan menaiki kereta api terus popular apatah lagi dijadikan tarikan pelancongan. Kebanyakan negara terus-terusan menjadikan tarikan pelancong ke negara mereka menerusi pelancongan kereta api.

KERETA API MEWAH

Berabad-abad berlalu, pengangkutan kereta api melalui transformasi sehingga menjadi pilihan untuk cepat tiba ke destinasi.

Selain itu, daripada pengangkutan kereta api biasa, beberapa negara maju dan negara membangun semakin ke hadapan dengan perkhidmatan kereta api laju terkini. Malahan kereta api bukan lagi pilihan untuk golongan pertengahan tetapi ada di antara perkhidmatannya termasuk dalam perkhidmatan bertaraf mewah.

Sekadar menyebut beberapa negara seperti China yang memiliki rangkaian rel kereta api berkelajuan tinggi yang terpanjang di dunia dengan purata kelajuan sejauh 200km/j, Jerman yang berbangga dengan tren berkelajuan tinggi Modern German Class 423 EMU dan ICE, perkhidmatan railjet yang menghubungkan Munich (Jerman)-Vienna (Austria) - Budapest (Hungary) serta Jepun dengan Japanese Shinkansen 500 Seriesnya.

Walaupun menghadapi saingan dengan automobil dan pesawat, perkhidmatan kereta api tetap menjadi pilihan. Di India misalnya, The Mumbai Suburban Railway memiliki kepadatan pengguna paling tinggi di dunia. Malah negara itu turut mempromosi pelancongan kereta api sebagai daya tarikan ke negara berkenaan.

Di Eropah, ramai pelancong menggunakan Eurostar, perkhidmatan kereta api laju penumpang yang menghubungkan London, Paris dan Brussels.

Amerika Syarikat juga mempunyai stesen kereta api ternama, Grand Central Terminal di New York.

Hakikat sejarah dan perkembangan pengangkutan dan pelancongan kereta api ini di seluruh dunia membawa kepada satu usaha serupa di Malaysia.

Malaysia turut tidak ketinggalan menyediakan perkhidmatan kereta api selesa seperti perkhidmatan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Komuter, Monorel dan KLIA Ekspress.

Perkhidmatan kereta api antara bandar oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) antara yang popular bagi penduduk tempatan dan pelancong.

Malah KTMB menyediakan perkhidmatan yang menghubungkan tiga negara iaitu dari Stesen Sentral Kuala Lumpur ke Singapura dan Stesen Sentral Kuala Lumpur ke Hadyai, Thailand pergi dan balik.

Laluan kereta api menjadi pilihan kerana ia memberi ruang kebebasan kepada pengguna untuk berehat, makan dan minum sambil menikmati pemandangan menarik termasuk di beberapa hentian bandar yang mempunyai ciri-ciri unik dan tersendiri.

PELANCONGAN KERETA API DI MALAYSIA

Januari lalu, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen sewaktu menghadiri Mesyuarat ke-13 Menteri-Menteri Pelancongan Asean di Brunei mencadangkan negara-negara Asean menjalinkan hubungan kerjasama menerusi pelancongan kereta api.

Menurut beliau pelancongan kereta api wajar dilihat sebagai produk pelancongan bersepadu baru yang bukan saja akan menggalakkan pelancongan antara negara-negara Asean, tetapi juga membuka peluang ekonomi di kawasan luar bandar.

Beliau berkata produk itu berpotensi memandangkan tujuh daripada 10 anggota Asean boleh dihubungkan menerusi keretapi iaitu Singapura, Malaysia, Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos dan Myanmar.

Cadangan beliau itu disambut baik oleh perwakilan negara yang hadir menandakan satu perubahan baru dalam industri pelancongan negara serantau.

Sebelum mesyuarat itu di Malaysia, Ng mencadangkan agar pihak yang terbabit dengan industri berkenaan mempromosi pelancongan kereta api dari Kelantan ke Singapura.

Percutian santai menaiki kereta api itu dijangka dapat membantu meningkatkan ekonomi luar bandar terutama penduduk kampung yang menjadikan kediaman mereka sebagai tempat tinggal pelancong di bawah program inap desa (homestay).

Usaha itu jika diberi perhatian yang serius, bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi penduduk tetapi juga menjana peningkatan kemasukan bilangan pelancong ke negara ini.

Namun, jika kereta api dipromosi sebagai satu daripada daya tarikan pelancong, perkara pertama yang perlu dilaksanakan ialah menambah baik mutu perkhidmatannya.

MALAYSIA TUAN RUMAH PERSIDANGAN

Secara kebetulan, pada tahun ini Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan Pelancongan Kereta api 2010 yang mensasarkan usaha mencari jalan bagaimana sesebuah negara, kawasan dan syarikat boleh menggunakan pengaruh perjalanan kereta api untuk meningkatkan perkhidmatan mereka menerusi industri pelancongan.

Persidangan yang akan diadakan di Berjaya Times Square di sini dijadual dari 5 hingga 8 Dis. Ia juga dijangka akan memasukkan acara selepas persidangan dan juga lawatan ke lokasi bertujuan meningkatkan kefahaman yang lebih jelas terhadap sektor ini.

Bercakap pada sidang media pelancarannya baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Laksamana Madya (B) Datuk Danyal Balagopal Abdullah berkata pelancongan kereta api boleh menyumbang kepada peningkatan pendapatan sektor pelancongan.

"Kajian oleh Strategia International Sdn Bhd menunjukkan peningkatan dalam perbelanjaan pelancongan iaitu melebihi RM100 juta setahun sekiranya potensi pelancongan dibangunkan sepenuhnya," kata beliau.

Menurut Danyal, kebanyakan pelancong yang melancong menggunakan kereta api mempunyai ikatan emosi yang tinggi terhadap laluan kereta api, iaitu sentimen yang tidak digunakan sepenuhnya untuk membangunkan sektor ini ke tahap yang lebih tinggi.

"Pelancongan kereta api adalah satu sektor yang sering terlepas pandang, sungguhpun ia menghasilkan pulangan yang lumayan sehingga berjuta ringgit dalam pendapatan operator kereta api dan mereka yang berkhidmat dalam sektor tersebut, secara langsung dan tidak langsung," katanya.

Nordin Abdullah, Pengarah Urusan Glenreagh Sdn Bhd yang menganjurkan persidangan itu menjangkakan penyertaan daripada 50 buah negara.

Menurutnya, Railway Tourism 2010 akan menumpukan kepada aspirasi penumpang memandangkan golongan inilah yang akan mengeluarkan perbelanjaan. Ia berbeza daripada persidangan mengenai kereta api sebelumnya yang banyak memfokuskan kepada aspek teknikal dan industri.

Mereka yang berminat mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web http://www.RailwayTourism.biz. Penyertaan terbuka kepada mereka yang terlibat di dalam industri itu serta mereka yang berada di dalam industri pelancongan.

Ia turut mengalu-alukan penyertaan mereka yang terlibat dalam sektor perdagangan dan industri seperti pemaju infrastruktur, tren dan teknologi, badan bukan kerajaan, muzium kereta api, ahli akademik dan penyelidik serta media tempatan dan antarabangsa.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels