Bernama.com
Ekonomi 12 Disember, 2009 15:37 PM
 
Kompleks Automotif DRB-Hicom Pekan Mula Pemasangan Untuk Eksport Tahun Depan


PEKAN, 12 Dis (Bernama) -- Kompleks Automotif DRB-Hicom Pekan akan memulakan pemasangan kereta jenama Suzuki Swift untuk pasaran eksport mulai tahun depan.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad Datuk Seri Mohd Khamil Jamil berkata model pertama kenderaan itu dijangka dieksport bermula April tahun depan.

"DRB-Hicom juga telah diberi hak untuk melancarkan dua lagi model Suzuki yang terbaru pada 2010 dan salah satu daripadanya akan dipasangkan di Pekan secara unit terurai (CKD)," katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun ke-25 Kompleks Automotif DRB-Hicom Pekan di sini Sabtu.

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah berkenan merasmikan acara yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohd Khamil berkata, dengan pemasangan untuk eksport itu, kompleks terbabit telah mencipta sejarah baharu yang membuktikan kemampuan DRB-Hicom dalam memenuhi tanda aras antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, DRB-Hicom akan mendirikan sebuah kolej universiti automotif yang bertaraf antarabangsa di Pekan.

Katanya, ia dijangka memulakan pengambilan pelajar pertamanya pada Mac tahun depan.

"Sebagai permulaan, kampus sementara yang akan terletak di Kuantan dijangka mengambil seramai 140 pelajar untuk mengikuti kursus industri automotif.

Katanya, kolej automotif itu akan dapat melahirkan tenaga kerja yang berpengetahuan mendalam dan mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang automotif setanding taraf dunia.

Selain itu, katanya, dengan pembinaan kampus tetap di Pekan, ia akan membawa kesan rantaian yang akan menyumbang kepada kepesatan ekonomi setempat.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels