Bernama.com
Am 23 November, 2009 10:56 AM
 
Banjir Semakin Buruk Di Pantai Timur Terutamanya Kelantan


KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Keadaan banjir di pantai timur terutamanya di Kelantan kian buruk apabila semakin ramai mangsa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sejak awal pagi ini berbanding Ahad.

Jurucakap Pusat Kawalan Oparasi Banjir (PKOB) Negeri di Kota Darulnaim berkata sehingga 6 pagi tadi, seramai 3,019 orang dipindahkan di seluruh negeri berbanding 2,327 orang malam tadi.

Seramai 1,488 adalah dari jajahan Pasir Mas, Kuala Krai (812), Tanah Merah (401), Jeli (247), Pasir Puteh (36) dan Machang (35), katanya kepada Bernama Isnin.

Jurucakap PKOB berkata mangsa perlu dipindahkan kerana keadaan air di kebanyakan tempat menyukat banjir di negeri ini semakin meningkat dan berada di atas paras bahaya menyebabkan air melimpahi tebing.

Sehingga 9 pagi ini, paras air di Tangga meningkat kepada 26.91 meter iaitu 1.91 meter di atas paras bahaya (25 meter).

Paras air di Kampung Jenob Sungai Golok pula 23.63 meter iaitu 0.13 meter di atas paras bahaya (23.50 meter) manakala paras air di Rantau Panjang pula 10.44 meter iaitu 1.44 meter di atas paras bahaya (9 meter)

Antara jalan utama yang ditutup ialah Kota Bharu - Pantai Cahaya Bulan KM4 Kampung Tikat; Pohon Tanjong-Rantau Panjang (Jalan Lama) di Km11 Kampung Siram; Jalan Rantau Panjang - Panglima Bayu di Km8.8 Kampung Kajang kerana ditenggelami air melebihi satu meter.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Di KUANTAN, mangsa banjir meningkat kepada 33 orang selepas dua penempatan di Kampung Darat Sungai Ular dan Kampung Chendor Tengah di sini dinaiki air.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Pahang berkata seramai 24 orang di Kampung Darat Sungai Ular ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Cherating manakala sembilan orang dari Kampung Chendor Tengah ditempatkan di balai raya kampung berkenaan.

"Pemindahan itu hanya melibatkan daerah Kuantan, tiada pemindahan dan penutupan jalan dilaporkan berlaku di daerah-daerah lain setakat ini," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan itu bertambah mulai kira-kira 6.30 petang Ahad.

Tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku, katanya.

Di KUALA TERENGGANU, banjir gelombang kedua semakin buruk apabila jumlah mangsa terus meningkat dengan mereka yang berpindah ke pusat pemindahan sehingga 9 pagi ini bertambah kepada 9,062 orang berbanding 5,641 orang petang semalam.

Jumlah mangsa dipindahkan di daerah Hulu Terengganu ialah seramai 1,737 orang, Besut (1,094), Setiu (1,189), Dungun (2,029), Marang (1,376) dan Kemaman (1,637).

Jurucakap Majlis Keselamatan Negera Terengganu berkata jumlah pusat pemindahan yang dibuka di Terengganu setakat ini ialah 120.

Selain itu, jalan utama iaitu Jalan Sungai Tong-Kuala Berang ditutup kepada semua kenderaan kerana jalan berkenaan dinaiki air sedalam antara 0.6 meter dan 1.2 meter pagi ini manakala Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi, dekat Kampung Durian Kasim, ditutup satu lorong kerana tebing jalan runtuh.

Sebanyak 27 jalan di daerah-daerah yang dilanda banjir turut ditutup sama ada kepada kenderaan berat atau ringan.

Lima jalan di Hulu Terengganu ditutup manakala di Marang (enam), Setiu (empat), Dungun (dua), dan masing-masing lima di Besut dan Kemaman.

Jurucakap itu berkata setakat ini tiada laporan mengenai kejadian tidak diingini akibat banjir berlaku di Terengganu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri pula melaporkan paras air sungai-sungai utama di negeri ini kebanyakan surut sedikit.

Paras Sungai Besut di Kampung La, yang semalam melepasi paras bahaya, telah surut ke tahap waspada setakat 9 pagi ini.

Kedudukan paras air di sungai itu kini ialah 18.7 meter berbanding tahap bahaya 19.2 meter.

Sungai Nerus di Ibu Bekalan juga semakin surut dan kini berada di paras amaran 97.95 meter manakala di Kampung Langkap, bacaan air turun kepada 21.49 meter.

Bagaimanapun, jurucakap itu berkata paras air di beberapa tempat di sungai Dungun dan Marang masih lagi pada tahap bahaya akibat air pasang dan hujan lebat.

--BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels