Bernama.com
Pasaran 13 November, 2009 18:47 PM
 
BURSA MALAYSIA: Harga Saham Ditutup Bercampur-campur


KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Harga saham di Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur Jumaat apabila pelabur menyimpan keuntungan bagi kebanyakan saham berwajaran tinggi dan saham bernilai rendah ketika prestasi bursa serantau suram, kata peniaga.

Dalam dagangan naik turun, Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur (FBM KLCI) ditutup 0.79 mata atau 0.06 peratus lebih rendah pada 1,270.96. Indeks utama bergerak antara paras 1,267.70 dan 1,273.23 hari ini.

Ia dibuka 1.42 mata lebih tinggi pada 1,273.17.

"Keseluruhannya, bursa tempatan secara relatifnya lemah ekoran pasaran serantau yang mencatat arah aliran harga menurun. Pengambilan untung meluas, terutama dalam saham berkaitan perladangan yang mecatat peningkatan kukuh baru-baru ini," kata seorang peniaga.

Lityan dan NSTP bagaimanapun menaikkan trend pasaran dan membantu mengehadkan kerugian.

Saham NSTP melonjak 40 sen untuk ditutup pada RM2.40 berikutan tawaran pengambilalihan daripada Media Prima Group dan dividen khas manakala Lityan, yang dipersoal oleh Bursa Malaysia Sekuriti baru-baru ini berhubung harga dan jumlah saham yang tinggi, turut meningkat 40 sen kepada RM2.71.

Pada 5 petang, FBM Emas susut 0.34 mata kepada 8,488.83 dan FBM Top 100 rugi 2.07 mata kepada 8,281.01.

FBM 70, bagaimanapun menokok 10.20 mata kepada 8,178.10 dan FBM ACE menambah 20.13 mata kepada 4,523.87.

Indeks Kewangan juga menokok 34.58 mata kepada 10,927.30 namun Indeks Perusahaan turun 1.75 mata kepada 2,697.98 dan Indeks Perladangan susut 14.39 mata kepada 6,179.32.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 315 berbanding 311 manakala 276 kaunter tidak berubah dan 372 yang lain tidak diurusniagakan.

Keseluruhannya jumlah dagangan berkurangan kepada 789.569 juta saham bernilai RM994.637 juta berbanding 925.994 juta saham bernilai RM1.243 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan di Papan Utama susut kepada 709.956 juta saham bernilai RM972.125 juta berbanding 804.835 juta saham bernilai RM1.210 bilion semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE juga susut kepada 60.241 juta saham bernilai RM16.538 juta berbanding 95.659 juta saham bernilai RM21.426 juta sebelumnya.

Bagaimanapun, jumlah dagangan waran meningkat sedikit kepada 13.817 juta saham bernilai RM3.011 juta berbanding 12.044 juta saham bernilai RM2.751 juta semalam.

Time Engineering yang mendahului saham untung, menokok 3.5 sen kepada 50 sen, Inch Kenneth menambah 6.5 sen kepada 50.5 sen dan Ramunia meningkat satu sen kepada 42.5 sen.

Hubline-warrant dan Talam, bagaimanapun tidak berubah, masing-masing pada 13 sen dan 11 sen.

Bagi saham berwajaran tinggi, Petronas Gas turun sembilan sen kepada RM9.80 dan Sime Darby rugi tiga sen kepada RM9.06 manakala CIMB Group menokok dua sen kepada RM12.92 manakala Malaysia Airlines meningkat lapan sen kepada RM3.20.

Maxis akan dimasukkan dalam 30 saham FBM KLCI, menggantikan syarikat penerbangan nasional itu mulai 20 Nov, sehari selepas syarikat telekomunikasi itu disenaraikan.

Barangan pengguna menyumbang sebanyak 58.060 juta saham yang diurusniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan 103.581 juta, pembinaan 37.783 juta, perdagangan dan perkhidmatan 284.216 juta, teknologi 62.448 juta, infrastruktur 18.914 juta, kewangan 46.484 juta, hotel 1.577 juta, hartanah 47.554 juta, perladangan 46.167 juta, prelombongan 1,000, REIT 3.094 juta dan dana tertutup 77,800.



-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels