Bernama.com
Am 31 Oktober, 2009 15:06 PM
 
FELDA Bina Lebih 3,000 Unit Projek PWF Di 10 FELDA


ROMPIN, 31 Okt (Bernama) -- Pembinaan sebanyak 3,579 unit projek Perumahan Warga Felda (PWF) untuk generasi kedua tanah rancangan itu di 10 Felda di seluruh negara dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata 10 kawasan terbabit adalah Felda Pasak dan Felda Sungai Sibul di Johor, Felda Jengka 19, Felda Triang 3, Felda Jengka 11 dan Felda Chini 3 di Pahang, Felda Chiku 5 di Kelantan, Felda Nerang 1 di Terengganu, Felda Chuping, Perlis dan Felda Raja Alias di Negeri Sembilan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 2,331 unit merupakan rumah kos sederhana rendah berharga sekitar RM35,000 manakala 1,003 unit rumah kos rendah berharga RM35,000 dan 35 unit kedai berharga RM100,000.

"Tiga daripada 10 PWF iaitu Felda Pasak, Jengka 19 dan Triang 3 sudah mula dilaksanakan manakala tujuh lagi dalam proses kelulusan tapak dan melantik perunding. Kita jangkakan keseluruhan projek ini yang bertujuan untuk membantu generasi kedua memiliki rumah yang sempurna dan selesa dapat diduduki pada tahun 2011," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci projek PWF Desa Keratong Indah di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata setakat ini Felda telah melaksanakan enam PWF di mana hanya satu PWF masih dalam proses pembinaan iaitu di Taman Pasak Impian di Johor.

Ahmad berkata empat lagi projek terbabit yang kesemuanya di Pahang adalah di Taman Mempaga Utama, Bentong; Taman Bukit Goh Perdana, Kuantan; Taman Lepar Hilir Saujana, Kuantan dan Taman Desa Keratong Indah, Rompin.

"Kos keenam-enam projek itu adalah RM86 juta dan bilangan unit adalah 2,255 unit," kata beliau.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata Felda turut menyediakan subsidi antara RM15,000 hingga RM20,000 bagi membolehkan generasi kedua Felda memiliki rumah sendiri seterusnya menetap di tanah rancangan masing-masing.

Katanya bagi membantu generasi kedua memiliki rumah sendiri, Felda menawarkan skim sewa beli kepada mereka yang tidak berpendapatan tetap atau tidak mempunyai slip gaji untuk membuat pinjaman di bank.

Mengulas cadangan Anggota Parlimen Rompin Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis supaya generasi kedua Felda yang tidak mampu membeli rumah menerusi projek PWF, ditawarkan lot tanah dengan harga yang berpatutan, Ahmad berkata Felda akan berbincang dengan kerajaan negeri mengenai perkara itu.

Turut hadir pada majlis itu adalah Jamaluddin yang juga Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Dakwah Islamiah dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels