Bernama.com
Am 01 Oktober, 2009 21:41 PM
 
Pengundi Boleh Semak Nama Dalam Laman Web SPR


PORT DICKSON, 1 Okt (Bernama) -- Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang boleh membuat semakan urusan pengundian menerusi laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), SMS atau di Bilik Gerakan Pejabat Pilihan Raya Negeri Sembilan.

Setiausaha SPR Datuk Ngah Senik berkata orang ramai boleh membuat semakan butiran peribadi seperti pusat mengundi, nombor saluran mengundi dan nombor siri mengikut Buku Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi tempat mengundi masing-masing.

"Pengundi boleh menyemak daftar pemilih menerusi laman web rasmi SPR iaitu www.spr.gov.my. dengan memasukkan nombor kad pengenalan. SPR juga menyediakan kemudahan SMS bagi membolehkan pengundi dikawasan itu menyemak maklumat pengundian masing-masing.

"Perkhidmatan SMS beroperasi hingga hari pengundian. Untuk menghantar SMS, pengundi perlu menaip SPR jarak semak jarak nombor kad pengenalan dan hantar kepada 15888," katanya semasa taklimat kepada petugas media yang membuat liputan pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang di sini , Khamis.

Ngah berkata pengundi kawasan berkenaan juga boleh membuat semakan dengan menghubungi Bilik Gerakan Pejabat Pilihan Raya negeri melalui nombor 06-7639975 pada waktu pejabat mulai hari ini hingga 9 Okt.

Bagi pilihan raya kecil ini, SPR akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2008 digabung dengan Daftar-daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2009 yang dikemaskini sehingga 4 Sept lepas.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels