Bernama.com
Am 26 September, 2009 20:27 PM
 
Politeknik Betong Untuk Penuhi Keperluan Tenaga Kerja Teknikal


BETONG, 26 Sept (Bernama) -- Cadangan pembinaan politeknik di sini akan membolehkan pelajarnya memperoleh pelbagai kemahiran dan pengetahuan bagi kerja-kerja teknikal yang bakal ditawarkan di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu berkata institusi itu bertujuan menyediakan peluang lebih baik kepada pelajar di sekitar Sri Aman, Betong, Saratok dan Sarikei untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Penubuhan politeknik itu juga akan menyediakan kira-kira 1,000 peluang kerja termasuk pensyarah dan jawatan lain kepada penduduk setempat," katanya semasa melancarkan Persatuan Wanita di Rumah Anti, Saka dekat sini pada hari Sabtu.

Katanya projek itu yang dijangka dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) di kawasan seluas 160 hektar di sini, telah diluluskan oleh kerajaan.

Memuji anggota Persatuan Wanita yang berjaya membawa impak ekonomi, sosial dan pendidikan yang positif terhadap penduduk, beliau berkata tujuh lagi persatuan serupa sudah ditubuhkan di kawasan Betong seperti Saka, Penurin, Suri, Tanjong, Serudit, Skrang dan Entanak.

Beliau kemudiannya mengumumkan bantuan kerajaan sebanyak RM21,000 kepada tujuh persatuan itu selain meluluskan sebanyak RM16,200 lagi untuk Rumah Anti dan menurutnya jalan raya di hadapan rumah panjang itu juga akan dibaiki.

Mengenai pembangunan pertanian, Jabu berkata projek Pembangunan Pertanian Luar Bandar Bersepadu (IRAD) bagi penanaman getah juga akan dilaksanakan berhampiran kawasan rumah panjang itu menjelang awal tahun depan.

Selain itu, pertandingan tenunan tikar atau 'pua kumbu' juga akan diadakan tahun depan untuk penduduk di situ, katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels