Bernama.com
Rencana 25 Ogos, 2009 13:34 PM
 
Kecemerlangan Pelajar Mengisi Kemerdekaan


Oleh Melati Mohd Ariff

Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Ilmu ialah tunjang kekuatan sesuatu bangsa, justeru, pencapaian pendidikan yang tinggi dilihat sebagai prasyarat untuk membolehkan sesebuah negara itu mencapai status negara maju.

Lantas, untuk Malaysia duduk sebaris dengan negara maju lain di dunia, ia memerlukan sebuah masyarakat yang berilmu yakni masyarakat yang menjadikan penimbaan ilmu sebagai satu budaya hidup dalam konteks akademik, komunikasi dan agama.

Masyarakat yang membudayakan ilmu dilihat akan berupaya menghasilkan pelbagai inovasi dan teknologi yang bukan sahaja untuk dimanfaatkan dalam pembangunan negara.

Ia juga dapat memperkukuh penguasaan negara dalam bidang ekonomi termasuk di peringkat global, sekali gus melakar nama Malaysia sebagai sebuah negara yang bukan sahaja unggul kemerdekaannya tetapi juga hebat.

Di samping itu, masyarakat yang berilmu turut menjadi pemangkin kepada perpaduan kerana orang yang berilmu boleh berfikir secara matang dan membuat keputusan yang bijak tanpa menurut hawa nafsu.

TUNGGAK HARAPAN

Golongan pelajar sebagai satu komponen masyarakat yang sering diuar-uarkan sebagai tunggak harapan barisan pelapis pemimpin masa depan sudah pastinya menggalas gagasan besar ini.

Pakar motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad melihat kecemerlangan pelajar ini sebagai pengisi kemerdekaan negara yang telah diperjuangkan oleh antaranya pemimpin dan patriot terdahulu.

"Membudayakan ilmu, membangunkan inovasi dan teknologi dan memperkukuh ekonomi. Inilah perkara yang perlu kita lakukan untuk mengisi kemerdekaan negara.

"Semuanya ini hanya boleh dicapai apabila kita mempunyai pelajar-pelajar tanpa mengira usia yang bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam membudayakan ilmu," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara di pejabatnya di Wisma Belia di sini baru-baru ini.

Justeru, katanya, pelajar tidak wajar beranggapan bahawa peranan mengisi kemerdekaan itu hanya terletak di bahu pemimpin.

"Mereka kena faham bahawa mereka ialah pelapis yang suatu hari nanti akan menjadi pemimpin. Dari sekarang juga kita perlu menyedia dan membentuk kumpulan bijak pandai yang akan menjadi pemimpin yang lebih hebat di masa akan datang," tegasnya.

TIDAK CUKUP SIJIL

Lazimnya, bila pengumuman keputusan peperiksaan dibuat, fokus kebanyakan pihak termasuk media ialah pelajar-pelajar yang berjaya meraih berbelas atau berpuluh 'A' di mana mereka ini akan mendapat pablisiti besar-besaran.

Desakan dan tekanan untuk mengumpul sebanyak mungkin 'A' ini turut menyebabkan ada pelajar yang tertekan sehingga ada yang sanggup melarikan diri dari rumah kerana malu apabila gagal. Ada juga yang nekad membunuh diri. Ini realiti kehidupan belajar dan menjadi pelajar hari ini.

Bagaimanapun, sekeping sijil dengan deretan 'A' tidak akan cukup untuk menjadikan seseorang pelajar itu cemerlang di peringkat pengajian tinggi.

Seseorang pelajar juga jangan menyandarkan kecemerlangan semata-mata kepada sekeping sijil.

Pelajar yang cemerlang, bagi Dr Asmadi yang juga Pengarah Urusan MAP Training & Consultancy ialah mereka yang mampu menguasai ilmu ke tahap yang semaksimum mungkin.

"Maknanya jika kita tahu sesuatu perkara itu, ia mestilah sedalam-dalamnya sehingga kita mampu mencipta dan membuat inovasi. Ia bukan setakat lulus UPSR, PMR, SPM atau STPM semata-mata.

"Mungkin kita tidak mampu menguasai segala cabang ilmu tetapi kalau kita sudah pilih satu-satu cabang ilmu, kita perlu mendalami cabang ilmu itu dan menjadi betul-betul pakar dalam bidang berkenaan. Ini yang akan melahirkan generasi-generasi yang hebat," jelas Dr Asmadi.

Pakar motivasi ini menekankan, pelajar cemerlang yang mengutip belasan A di peringkat peperiksaan sekolah perlu membawa kecemerlangannya di peringkat universiti di mana ia lebih utama.

Kecemerlangan yang diperoleh dalam peperiksaan sekolah hanya tiket untuk seseorang pelajar menjejak kaki ke universiti dan bukan penentu menjadi seorang mahasiswa yang hebat.

"Gagasan ini yang kadang kala kita terlepas pandang. Sebab itulah kita melahirkan graduan yang keputusan mereka hanya sekadar cukup makan untuk mendapat pekerjaan. Ini tidak akan dapat mengisi kemerdekaan negara," tambahnya.

KUALITI GRADUAN

Polemik kualiti graduan yang dihasilkan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bukan perkara baru.

Dalam hal ini, antara yang sering diperlekeh tentang graduan IPT tempatan ialah kelemahan berkomunikasi khususnya dalam bahasa Inggeris.

Bilangan graduan yang 'cukup makan' ini begitu besar jika mengambil kira pandangan Dr Asmadi.

Beliau menganggarkan sekitar 90 peratus graduan tempatan tidak inovatif, kreatif dan tidak mempunyai impian atau wawasan yang tinggi.

Golongan itu hanya menunggu untuk 'makan gaji' dan sanggup menganggur jika tiada peluang pekerjaan.

Sebagai graduan, mereka perlu mempunyai daya fikir dan daya juang yang tinggi. Jika selepas kita keluar dari universiti dan tidak ada pekerjaan, kelompok itu sepatutnya mampu mencipta pekerjaan dan bukan sebagai graduan mencari pekerjaan.

"Ini yang berlaku di negara-negara maju. Mereka yang keluar universiti tidak begitu kisah sama ada dapat kerja atau tidak sebab mereka tahu apa yang mereka hendak lakukan.

"Mereka sudah ada perancangan bila menjejakkan kaki ke universiti dan berani terjun dalam bidang keusahawanan bila habis belajar. Mereka mampu berfikir dari segi membuat ciptaan-ciptaan baru, inovasi baru dan mempunyai banyak idea baru," jelas Dr Asmadi.

BUDAYA 'SPOONFED'

Satu daripada faktor yang beliau lihat yang menyumbang kepada kelemahan prestasi pelajar universiti ialah sikap mereka yang masih terbawa-bawa dengan budaya belajar di sekolah.

Kebergantungan mereka kepada guru dan budaya 'disuapkan' ilmu di alam persekolahan menjadikan kumpulan pelajar ini masih mengharapkan perkara yang sama apabila mereka menjejak kaki ke menara gading sehingga lulus.

"Transformasi pemikiran perlu dilakukan dalam tahun pertama lagi. Malah di peringkat matrikulasi pun pelajar-pelajar perlu memikirkan bahawa kecemerlangan yang sebenar ialah di universiti bukan di peringkat sekolah.

"Ramai pelajar kita bila masuk ke universiti ia menjadi satu anti-klimaks bagi mereka dan sebab itu pelajar-pelajar berasrama penuh umpamanya yang begitu cemerlang di peringkat sekolah, tidak mampu cemerlang di peringkat universiti," kata Dr Asmadi yang sudah berkecimpung lebih 15 tahun dalam bidang motivasi pelajar.

Pencapaian akademik pelajar, tambahnya merudum dan peratus yang dapat mengekalkan kecemerlangan kurang daripada 15 peratus.

GEJALA SOSIAL

Satu lagi faktor yang menjejaskan prestasi pelajar terutamanya di peringkat sekolah ialah gejala sosial termasuk bohsia, lari dari rumah, penagihan dadah, kegiatan 'samseng jalanan', jenayah juvana serta seks bebas.

Dr Asmadi menyifatkan masalah sosial dalam kalangan pelajar "semakin hari semakin kritikal" dan pada pandangan beliau, banyak kes yang tidak dilaporkan.

Beliau ada menerima dan mendengar kes pelajar yang terlibat dengan promiskuiti seksual dan pelajar perempuan yang begitu berani melakukannya dan bangga bercerita di sekolah.

Dr Tengku Asmadi berkata pelajar yang mudah terjebak dengan gejala sosial, ialah mereka yang lemah dari segi pembangunan kekuatan emosi dan rohani.

"Gejala sosial ini perlu dibanteras dari peringkat awal, kalau peringkat kemudian susahlah. Nampaknya banyak yang perlu dilakukan sebelum kita menjadi sebuah masyarakat yang musnah," tegasnya.

PERLU KESEIMBANGAN IESQ

Dr Asmadi mengaitkan kepincangan yang berlaku dalam kalangan segelintir pelajar dengan ketiadaan kecerdasan emosi (Emotional Quotient/EQ)dan rohani (Spiritual Quotient/SQ).

Menurut beliau, kecerdasan EQ dan SQ perlu seiring dengan kecerdasan intelektual (Intellectual Quotient/IQ) seseorang individu.

Katanya, dalam usaha pengisian minda dengan ilmu-ilmu yang ilmiah, kadang-kala seseorang itu terlupa dengan pembangunan EQ dan SQ sedangkan IESQ perlu diasuh, dikembang dan diasah dalam diri anak-anak.

Bagi Dr Asmadi, sebahagian daripada masalah yang dihadapi hari ini terutamanya yang ada hubungkait dengan masalah akhlak anak-anak dapat ditangani sekiranya anak-anak mempunyai IESQ yang tinggi.

Untuk itu, ibu bapa dan para guru perlu mengambil inisiatif untuk meningkatkan IESQ anak-anak.

Bagaimanapun, dalam hal pembangunan IESQ ini, ibu bapa memikul tanggung jawab besar memandangkan pembentukan sikap anak bermula dari rumah.

Diminta menjelaskan lebih lanjut, Dr Asmadi memberi contoh:

"Katakan seorang anak hendak memukul kawannya. Dia berfikir kalau dipukulnya budak itu, budak itu mesti merasa sakit dan kalau budak itu memukul dirinya, tentu dia juga akan merasa kesakitan. Ini adalah EQ yang lebih menjurus kepada sikap, tingkah laku dan peribadi individu dan kebolehan anak-anak menangani konflik emosi mereka.

"Dalam masa yang sama, budak itu akan berfikir, kalau dia memukul budak itu, mesti dia berdosa, mesti Tuhan akan membalas dengan balasan yang buruk. Mungkin juga suatu hari nanti, Tuhan akan memulangkan balik apa yang telah dilakukan kepada budak itu, akan berlaku juga kepada dirinya. Ini SQ."

JANGAN LUPA ADAB

Dr Asmadi turut menekankan pentingnya anak-anak dididik dari segi adab. Tanpa adab, katanya, anak-anak akan menjadi biadab.

Isu anak-anak yang berani menengking ibu bapa dan pelajar yang sanggup menumbuk guru jelas menunjukkan krisis akhlak yang perlu ditangani sebelum ia menjadi parah.

Justeru, menurut pakar motivasi ini, anak-anak perlu dididik dengan adab seawal mungkin usia mereka.

"Kadang kala apabila kita bercakap dengan pendidikan anak-anak, kita lupa pendidikan dari segi adab. Pendidikan adab ini akan melahirkan anak-anak yang berjiwa halus.

"Anak-anak yang begini akan lebih sensitif dan prihatin pada persekitaran dan perasaan orang lain," katanya.

Dr Asmadi berkata semua ini akan mengembalikan masyarakat Malaysia kepada masyarakat yang bersopan santun dan membentuk generasi yang beradab berlandaskan penyuburan IESQ yang tinggi dalam diri anak-anak.

"Ini juga boleh menjamin kecemerlangan masyarakat dan pelajar. Inilah cara kita mengisi kemerdekaan dengan acuan kita sendiri," katanya.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels