Bernama.com
Pasaran 15 Ogos, 2009 16:47 PM
 
Kadar Antara Bank Dijangka Terus Kukuh


KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil minggu depan depan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) terus campur tangan menerusi tender bagi memastikan dana mencukupi dalam sistem kewangan, kata para peniaga.

Bank pusat itu dijangka menawarkan tender konvensional, Islam dan repo setiap hari sejajar dengan jumlah lebihan mudah tunai dalam pasaran wang.

Bank Negara mengekalkan Kadar Dasar Semalaman, kadar faedah petunjuk pasaran yang menentukan kadar berian pinjaman bank-bank pada 2.0 peratus semasa mesyuarat jawatankuaas dasar monetarinya bulan lepas.

Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, Rizab Persekutuan AS memutuskan di mesyuarat dasarnya untuk mengekalkan kadar faedah utama hampir sifar.

Bagi pasaran tempatan, kadar semalaman, seminggu, dua minggu dan tiga minggu, pada kadar purata diselaras, berada antara 1.91 peratus dan 1.96 peratus.

Pada Jumaat, BNM menawarkan tender lewat bagi mengurangkan lagi lebihan dengan menawarkan tender konvensional bagi RM12.3 bilion wang tiga hari dan tender Al-Wadiah bagi RM4.7 bilion wang tiga hari.

Pada akhir minggu ini, jumlah lebihan mudah tunai berkurangan kepada RM12.33 bilion dalam sistem konvensional dan RM4.784 bilion dalam dana Islam.

Kadar antara bank tiga bulan pendasar berada pada 2.14 peratus.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels