Bernama.com
Am 11 Ogos, 2009 16:09 PM
 
Pemansuhan PPSMI Bermula Secara Berperingkat Mulai 2012


PUTRAJAYA, 11 Ogos (Bernama) -- Pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan bermula secara berperingkat mulai 2012 bagi Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.

Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Tan Sri Alumuddin Mohd Dom berkata Tingkatan 6 dan Matrikulasi tidak akan terlibat dalam pemansuhan itu.

"Bagi menyediakan mekanisme 'soft landing' pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia, kedua-dua mata pelajaran tersebut akan diajar dalam dwibahasa iaitu Bahasa Malaysia/Bahasa Cina/Bahasa Tamil dan Bahasa Inggeris di sekolah rendah dan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di sekolah menengah mulai 2010.

"Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bagi Tahun 4 pada tahun 2012, 2013 dan 2014, Tahun 5 pada tahun 2013, 2014 dan 2015 dan Tahun 6 pada tahun 2014, 2015 dan 2016 akan dilaksanakan dalam dwibahasa," katanya kepada pemberita selepas menemui Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, di sini hari ini.

Sehubungan itu, kata Alimuddin peperiksaan Sains dan Matematik UPSR akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2016.

Bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bagi Tingkatan 4 pada tahun 2012, 2013 dan 2014 dan Tingkatan 5 pada tahun 2013, 2014 dan 2015 dilaksanakan dalam dwibahasa, katanya.

Peperiksaan Sains dan Matematik SPM akan diteruskan dalam dwibahasa sehingga 2015, katanya.

Sementara itu, Muhyiddin ketika bercakap kepada pemberita berkata penjelasan Alimuddin itu berikutan kekeliruan timbul mengenai pelaksanan polisi itu.

Beliau juga mengulangi pendirian Kementerian Pelajaran bahawa sekolah tidak akan ditutup akibat penularan penyakit Influenza A (H1N1).

"Hanya kerana seorang atau dua pelajar sakit, kita tidak perlu tutup sekolah. Kita perlu selesaikan semua peperiksaan terlebih dahulu. Bagaimana kita boleh menutup sekolah tanpa mengadakan peperiksaan yang berkenaan," katanya.

Beliau berharap penularan virus H1N1 itu tidak memberi kesan buruk kepada sistem pendidikan, kerana "jika tidak, kita perlu mengambil langkah drastik untuk mencegah virus ini".

"Kami akan memantau keadaan dan jika kami dapati ia menjejaskan sekolah-sekolah, ketika itu kami akan mengumumkan tindakan sewajarnya diambil," katanya.

Ditanya mengenai desakan gerakan Anti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris yang ingin melihat kerajaan menarik balik polisi itu dengan serta merta, beliau berkata desakan sebegitu tidak perlu.

"Kita adalah sebuah kerajaan bertanggungjawab. Mereka boleh desak tapi mereka kena faham realiti. Adalah kita mempunyai guru terlatih untuk mengajar Bahasa Inggeris. Sudahkah kita sediakan alat-alat untuk membantu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia?

"Sudahkah kita tingkatkan kemahiran guru-guru untuk mengajar mata pelajaran tersebut dalam Bahasa Malaysia. Mereka kena faham semua ini sebelum membuat desakan seperti itu," kata Muhyiddin.

Dalam perkembangan lain, Alimuddin berkata Kementerian Pelajaran kesal dengan kesukaran yang dihadapi oleh PIBG SMK Sri Hartamas Kuala Lumpur semasa mereka ingin mengadakan mesyuarat agung tergempar di sekolah itu Sabtu lepas.

"Pihak Kementerian Pelajaran sentiasa terbuka untuk mendapatkan pandangan dan pendapat berhubung usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan oleh itu, PIBG dialu-alukan menggunakan premis sekolah bagi membincangkan perkara-perkara tersebut," katanya.

Alimuddin berkata mana-mana pihak yang ingin memberi pandangan mereka boleh memanjangkan surat atau memorandum kepada kementerian bagi dibincangkan dalam mesyuarat-mesyuarat penting kementerian itu.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels