Bernama.com
Am 08 Ogos, 2009 15:37 PM
 
SMK Tambulion Layak Jadi Sekolah Pelancongan Di Sabah


KOTA BELUD, 8 Ogos (Bernama) -- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambulion, dekat sini layak menjadi sekolah pelancongan melalaui program pendidikan pencegahan dadah, kata Ketua Panel Penilai Sudut Sumber Pendidikan Pencegahan Dadah, Kementerian Pelajaran, Baharin Sabar.

Menurutnya, kelayakan tersebut berdasarkan komitmen pihak sekolah untuk menarik perhatian sekolah luar, Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO), Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Jabatan Pelajaran Perak untuk mengadakan lawatan sambil belajar di sudut sumber pendidikan pencegahan dadah (PPDa) sekolah berkenaan.

"Selain itu, kecemerlangan sekolah untuk mengadakan program pendidikan pencegahan dadah melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum wajar dihargai dan dicontohi oleh sekolah-sekolah lain di seluruh negara.

"Walaupun dikategorikan sebagai sekolah luar bandar, saya kagum dengan usaha murni pihak sekolah yang merealisasikan visi Kementerian Pelajaran 'Sekolah Bebas Dadah Tahun 2012', katanya kepada Bernama di sini.

SMK Tambulion merupakan satu-satunya sekolah di antara 209 buah sekolah di Sabah yang dipilih mewakili Jabatan Pelajaran Sabah untuk penilaian peringkat kebangsaan.

Sehubungan itu, Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh pada 28 Julai lalu mencadangkan agar sudut sumber PPDa sekolah berkenaan dijadikan rujukan oleh sekolah-sekolah lain di Sabah.

Dalam pada itu, Baharin mencadangkan kepada pihak-pihak berkenaan untuk menaikkan taraf jalan raya sejauh 8 kilometer dari jalan raya besar Kampung Piasau untuk memudahkan perhubungan masyarakat dengan sekolah tersebut memandangkan kelayakan sekolah tersebut sebagai sekolah pelancongan pendidikan pencegahan dadah bertaraf kebangsaan.

"Kami kesal kerana jalan raya ke sekolah ini masih berlubang dan berdebu. Bantulah sekolah ini kerana ia akan kerap dilawati oleh agensi luar untuk berkongsi kecemerlangan. Kami hanya mencadang, tetapi biarlah pihak berkenaan yang menjalankan kewajipan untuk kebaikan semua, katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels