Bernama.com
Am 01 Ogos, 2009 22:19 PM
 
USM Lancar Program Pertama Duta Penuntut


PULAU PINANG, 1 Ogos (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) di sini Sabtu melancarkan Program Duta Penuntut yang pertamanya bertujuan mempromosikan universiti itu kepada bakal penuntut dari dalam dan luar negara.

Seramai 13 orang penuntut dari 11 negara menyertai program ini yang akan menyediakan maklumat mengenai peluang melanjutkan pengajian di universiti ini kepada bakal penuntut dalam dan luar negara.

Dekan Institut Kajian Ijazah Lanjutan (IPS) USM, Prof Roshada Hashim berkata duta penuntut ini yang juga merupakan penuntut antarabangsa ijazah lanjutan adalah dari Uzbekistan, Pakistan, Indonesia, Jordan, Iran, Bangladesh, India, China, Maldives, Nigeria dan Malaysia.

Mereka merupakan wakil dari negara masing-masing sementara tiga orang adalah dari Malaysia, katanya kepada pemberita selepas berucap mengalu-ngalukan mereka dan majlis angkat sumpah penuntut ijazah lanjutan itu di sini hari ini.

Beliau berkata duta penuntut itu akan terbabit dalam sesetengah aktiviti promosi, menjadi pemandu pelancong kepada bakal penuntut, menyambut kedatangan pelawat ke kampus tersebut dan juga membantu penuntut baru menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus.

"Satu hubungan baru ditambah pada laman web rasmi IPS yang menyenaraikan nama-nama dan e-mel-emel duta-duta itu agar bakal penuntut boleh mendapatkan bantuan daripada mereka dengan mudah," kata Roshada.

Beliau berkata duta penuntut itu yang dipilih melalui temuduga berdasarkan pengetahuan asas mengenai negara ini, kempimpinan dan pengurusan USM.

Seorang duta penuntut, Pan Cheng dari China berharap dapat menyertai program ini untuk membantu penuntut dari negaranya di USM.

"Dengan berkongsi pengalaman dan pengetahuan saya dengan mereka, saya harap mereka dapat menikmati dan menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus," katanya.

Seramai 1,792 penuntut ijazah lanjutan diberikan sambutan hari ini yang menjadikan jumlah kesemua penuntut ijazah lanjutan di USM ialah 6,789 orang.



-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels