Bernama.com
Am 11 Julai, 2009 17:45 PM
 
Pegang Teguh Ikrar Kesatria, Cogan Kata 'Sedia Berkorban', Titah Tuanku Mizan


LUMUT, 11 Julai (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa berpegang teguh kepada cogan kata "Sedia Berkorban" dan ikrar kesatria yang dilafazkan kerana ia adalah teras perjuangan.

Seri Paduka bertitah bahawa kesetiaan turut menjadi elemen penting terutama dalam sebuah organisasi yang berteraskan disiplin.

"Kesetiaan terhadap organisasi dapat melahirkan seorang yang berdisiplin dan komited terhadap perkhidmatan kerana ia akan memastikan perhubungan antara pihak atasan dan bawahan sentiasa positif, sekaligus menentukan segala arahan diikuti dan dilaksanakan dengan betul dan ikhlas.

"Aspek kesetiaan perlu diutamakan terutama dalam keadaan di mana faktor keselamatan negara menjadi pertaruhan selain menjaga nama baik ATM khususnya TLDM dengan jujur dan ikhlas serta penuh dengan semangat waja," titah Seri Paduka pada Istiadat Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Tauliah Jangka Pendek Pengambilan Ke-57, Wanita ke-10, Graduan ke-18 dan Bakal Pegawai Tugas Khas ke-29 di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok di Pangkalan TLDM di sini Sabtu ini.

Turut berangkat ke majlis itu adalah Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa; Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Tuanku Mizan bertitah sebagai seorang pemimpin kepada anggota bawahan di dalam ATM, mereka perlu bertanggungjawab, berdedikasi, berdisiplin dan komited terhadap kepimpinan dalam mempertahankan kedaulatan negara yang dikasihi.

Seri Paduka mengucapkan setinggi tahniah kepada semua yang menerima watikah pentauliahan kali ini kerana berjaya mengharungi segala cabaran sepanjang latihan sehingga ditauliahkan sebagai Pegawai di dalam perkhidmatan TLDM.

Seri Paduka turut berbangga apabila TLDM berjaya mengorak langkah memasuki dimensi pertahanan yang baru dengan ketibaan KD Tunku Abdul Rahman ke tanah air.

Tuanku Mizan yakin ketibaan kapal ini akan meningkatkan keupayaan TLDM setanding dengan keupayaan tentera laut kelas dunia yang lain, di mana pencapaian ini bersesuaian dengan sambutan Jubli Intan TLDM ke-75 yang diraikan baru-baru ini.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels