Bernama.com
Ekonomi 11 Julai, 2009 13:53 PM
 
Harga Getah Dijangka Diniagakan Tinggi Sedikit Minggu Depan


KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Harga getah Malaysia dijangka diniagakan tinggi sedikit minggu depan, disokong oleh minat belian sederhana, kata para peniaga.

"Pasaran masih menerima pertanyaan aktif daripada pembeli luar negara seperti Korea, Afrika Selatan dan Turki. Mereka berminat tetapi masih belum membuat pembelian berikutan kebimbangan akan pemulihan ekonomi global," kata seorang peniaga.

Bagaimanapun, peniaga itu berkata pasaran dijangka berada dalam aliran menurun berikutan pembetulan teknikal berkaitan dengan pelarasan harga di pasaran serantau.

"Kebanyakan pembeli tertumpu kepada Indonesia, yang berjaya mengekalkan harga lebih rendah berbanding getah yang dikeluarkan di Malaysia dan Thailand. Justeru itu, pembetulan teknikal dijangkakan," kata peniaga itu.

Peniaga itu juga berkata sentimen pasaran getah tempatan dijangka sejajar dengan prestasi di Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM).

Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, harga getah tempatan diniagakan rendah berikutan kekurangan minat belian dan hala tuju lemah daripada harga niaga hadapan TOCOM.

Bagi asas mingguan, harga tengah hari fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 naik satu sen kepada 569 sen sekilogram daripada 568 sen minggu sebelumnya manakala susu getah pukal turun empat sen kepada 377.5 sen sekilogram daripada 381.5 sen sebelumnya.

Harga penutup tidak rasmi bagi gred tayar SMR 20 meningkat setengah sen kepada 569.5 sen sekilogram daripada 569 sen pada Jumaat minggu sebelumnya, tetapi susu getah pukal jatuh 5.5 sen kepada 377.5 sen sekilogram daripada 383 sen pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels