Bernama.com
Am 25 Jun, 2009 15:23 PM
 
Asean Perlu Tangani Kesan Kelembapan Ekonomi


Oleh D. Arul Rajoo

BANGKOK, 25 Jun (Bernama) -- Negara-negara anggota Asean perlu bertindak pantas dalam mengatasi kemungkinan lumpuhnya sistem ekonomi dan tercetusnya keganasan yang diakibatkan oleh kelembapan ekonomi global, kata Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata masalah kelembapan ekonomi membawa kepada peningkatan kadar pengangguran, pemberhentian pekerja, pengecilan pengeluaran, dan penyelarasan gaji; terutama bagi ekonomi yang bergantung kepada eksport di mana permintaan untuk barang-barang dagangan semakin menjunam dengan ketara.

Menurutnya komuniti belia pastinya merupakan golongan yang paling teruk terjejas dengan keadaan ini memandangkan peluang pekerjaan buat mereka semakin bertambah kurang.

"Pengangguran dan masalah kewangan akan membawa kepada kegawatan politik dan ekonomi, sekaligus melahirkan persekitaran yang negatif yang terpaksa ditanggung negara," katanya pada Mesyuarat Menteri-menteri Asean mengenai Belia di sini.

Katanya manifestasi rasa tidak puas hati, sentimen anti pembangunan, kecenderungan bertindak ganas dan gejala sosial, terpaksa dijadikan keutamaan untuk ditangani kerajaan akibat masalah tersebut.

Ahmad Shabery berkata dalam usaha memerangi masalah ini, negara-negara anggota Asean perlu bertindak pantas dengan menjana permintaan domestik dan dengan membangunkan sektor yang berkaitan, termasuk sektor perkhidmatan.

"Sebarang kemajuan dalam peringkat kecekapan dan teknologi, akan memberikan kelebihan yang memang benar-benar amat diperlukan untuk menambah ketahanan, pemulihan dan kamajuan yang berterusan," katanya.

Beliau turut berkata bahawa Malaysia merancang untuk melaksanakan inisiatif pembangunan belia yang pertama di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia pada Oktober 2009.

Ahmad Shabery berkata Malaysia juga sedang menimbangkan untuk membida bagi menjadi tuan rumah kepada Forum Belia Sedunia yang ke-lima Sistem Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu bagi menerajui inisiatif pembangunan belia di seluruh dunia.

Berhubung Dana Belia Asean, beliau berkata Malaysia berharap menteri-menteri berkenaan akan menyetujui kerjasama itu bagi memastikan negara-negara anggota memiliki akses bagi mendapatkan dana yang mencukupi untuk melaksanakan pelbagai aktiviti.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels