Bernama.com
Am 11 Jun, 2009 20:21 PM
 
Kementerian Lulus Kursus Perubatan Tradisional Cina Di IPTS


PUTRAJAYA, 11 Jun (Bernama) -- Buat julung kalinya, Kementerian Pengajian Tinggi meluluskan kursus peringkat diploma dan ijazah dalam perubatan tradisional Cina untuk ditawarkan di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) Malaysia di bawah kursus perubatan tradisional dan komplemetari.

Ketika mengumumkan perkara itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Hou Kok Chung berkata pengajian perubatan tradisional Cina sangat terkenal dan lazimnya diiktiraf oleh masyarakat luar negara sejak sekian lama, oleh itu kementerian memutuskan untuk memperkenalkan kursus itu di Malaysia.

Usaha itu, katanya sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia hab bagi pendidikan tinggi di rantau ini.

Ditanya mengenai pensyarah berkelayakan bagi kursus itu, beliau berkata IPTS terbabit akan mengambil pensyarah dari Malaysia dan China.

"Kursus ini akan dikendalikan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin berdasarkan sukatan pelajaran," kata Dr Hou pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata kelulusan yang diberikan untuk menawarkan kursus berkenaan adalah berkat usaha yang dilakukan oleh kementerian itu dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.

Katanya Kementerian Pengajian Tinggi akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan berhubung isu sama ada terdapat keperluan bagi siswazah perubatan tradisional Cina untuk berkhidmat di hospital kerajaan selepas menamatkan pengajian mereka.

"Pada masa ini, tanggungjawab utama Kementerian Pengajian Tinggi ialah untuk memantau kusus yang dikendalikan oleh institusi pengajian tinggi swasta," katanya.

Tiga IPTS akan menawarkan pengajian dalam perubatan tradisional Cina mulai tahun ini iaitu Kolej Universiti Antarabangsa INTI, yang akan menawarkan kursus Ijazah Sarjana Muda Perubatan Tradisional Cina; Kolej Universiti Perubatan Sains Cyberjaya, yang akan menawarkan Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan Homeopati (Kepujian); dan Management and Science University (MSU), yang akan menawarkan Diploma Perubatan Tradisional Cina.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels