Bernama.com
Rencana 14 Mei, 2009 15:11 PM
 
Menjelaskan Rawatan Penagih Dengan Methadone


Oleh Ravichandran D.J Paul

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Sejak 2002 Malaysia dengan jayanya melaksanakan Terapi Gantian Dadah (DST) dengan mensasarkan kepada penagih heroin, bagaimanapun masih wujud keraguan terhadap kaedah rawatan bukan orthodoks ini.

Sehinggakan ada yang membidas bahawa DST ialah kaedah 'membunuh secara perubatan' bagi membanteras satu daripada gejala sosial negara sementara yang lain pula mengutuk idea menggantikan satu ketagihan dengan lain.

Tetapi bagi mereka yang mempelopori bidang perubatan ketagihan di Malaysia, sependapat dengan rakan-rakan mereka di seluruh dunia, bahawa kaedah rawatan ini merupakan pendekatan terbaik bagi penagih heroin dan masyarakat.

Penagihan dadah merupakan gangguan kronik otak yang menjejaskan fungsi psikologi and fisiologi pengguna dadah.

DST menawarkan kepada penagih, sejenis dadah yang sah daripada segi undang-undang, yang lazimnya terdiri daripada opiod sintetik seperti Buprenophine dan Methadone yang menghentikan ketagihan dan simptom `withdrawal' yang membolehkan mereka meneruskan dengan kehidupan.

Secara ringkas, ketagihan boleh dikawal dengan beralih daripada dadah haram kepada yang diperoleh daripada doktor, hospital serta saluran pembekalannya yang sah.

MDST SATU PENDEKATAN PRAGMATIK

Prof Dr Mohamad Hussain Habil, Pakar Ketagihan dan Pakar Perunding Psikiatri di Jabatan Perubatan Psikologi Pusat Perubatan Universiti Malaya, semasa satu bengkel media baru-baru ini mengenai Methodone DST (MDST) menjelaskan mengenai kelebihan dan tanggapan sinis terhadap DST.

Beliau mendapati ini mungkin satu-satunya langkah pragmatik jangka panjang dalam membantu penagih untuk meneruskan dengan kehidupan dan pada masa yang sama membantu mengatasi banyak daripada masalah yang berkaitan dengan penagihan dadah - jangkitan HIV, perlakuan jenayah dan kemerosotan nilai-nilai sosial.

Walaupun tempoh minimum rawatan MDST antara 2-4 tahun disyorkan bergantung kepada penagih, ada yang perlu mengambil dadah gantian ini bagi tempoh yang lebih lama dan terdapat laporan di mana penagih terpaksa bergantung kepada dadah gantian ini buat selama-lamanya. Ini menimbulkan kebimbangan kepada ramai.

Prof Dr Mohamad berpendapat kebingungan terhadap MDST ialah kerana kurangnya kefahaman mengenai penagihan dan proses pemulihan.

"Saya juga tahu ada ibu bapa penagih yang kurang senang dengan tindakan menggantikan satu bentuk ketagihan dengan satu lagi," tambah Prof Dr Mohamad yang menunjukkan kebimbangan ramai terhadap DST.

Kata-kata kritikan dan gangguan pihak berkuasa yang dihadapi penagih yang mengambil Methadone menjadi penghalang kepada usaha memperluas program MDST supaya ia dapat dicapai lebih ramai penagih.

"Bagaimanapun, kami sedia membantu kerajaan dalam memperluas MDST. Buat masa ini program MDST hanya meliputi 5,000 penagih dan kami mahu menyaksikanya diperluas meliputi 20,000 penagih menjelang 2010," kata beliau.

Projek perintis MDST dilancarkan pada 2005 membabitkan 1,240 pesakit di lapan hospital kerajaan, dua klinik kesihatan masyarakat and tujuh klinik persendirian.

Program ini mencatatkan kadar pengekalan penagih yang baik hingga 90 peratus pada tahun pertama, satu pencapaian besar apabila dibandingkan terhadap standard kadar pengekalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebanyak 55-60 peratus.

Lagipun, 73 peratus daripada pesakit juga bekerja. Ekoran kejayaan ini kerajaan merancang untuk merawat 75,000 pesakit menjelang 2015.

MDST DALAM GAMBARAN YANG LEBIH BESAR

Sementara itu, Dr Mohd Khafidz Hj Mohd Ishak presiden Persatuan Insaf Murni (sebuah NGO yang merupakan anggota gabungan Majlis Aids Malaysia dan yang menjalankan MDST, selain daripada program pertukaran jarum dan picagari kalangan penagih di Selangor) berkata penagih perlu mengambil Methadone dalam bentuk cecair setiap hari untuk mengawal ketagihan dan ini lebih kurang sama dengan bagaimana kita mengawal penyakit lain pada tubuh, sebagai contoh diabetes.

Mengenai kesan sampingan Methadone, sehingga ini belum ada lagi kesan teruk dikenal pasti dan ketagihan terhadap Methadone juga jarang didapati.

Satu lagi elemen penting yang ditunjukkan oleh Dr Mohd Khafidz ialah MDST membenarkan rawatan di dalam komuniti, yang akan menggalakkan lebih ramai penagih untuk tampil mendapatkan rawatan secara sukarela.

Kaedah lama iaitu mengurung mereka adalah tidak produktif.

Sementara menjalani rawatan MDST, mereka boleh bekerja dan meneruskan dengan kehidupan.

Lagipun, rawatan methadone turut memutuskan bekalan dadah haram dan ini dalam tempoh jangka panjang boleh membantu mengurangkan bilangan penagih.

STATUS SEMASA MDST DI MALAYSIA

Penyelaras Pusat Sains Ketagihan Malaya dan Klinik Penyelidikan Methadone Universiti Malaya Dr Rusdi Abdul Rashid menarik perhatian bahawa dos Methadone yang sesuai bagi penagih di Malaysia ialah antara 80-160mg setiap hari.

Bagaimanapun, memandangkan Methadone mahal dan bekalannya terkawal, para penagih di klinik-klinik yang dikendalikan kerajaan hanya menerima antara 60-80mg, sementara di klinik swasta, dos yang diberi lebih rendah, iaitu 30-40mg.

Rawatan MDST di klinik dan hospital kerajaan adalah percuma tetapi penagih baru tidak lagi diterima memandangkan sambutan di luar dugaan dan sumbernya terhad.

Sementara itu, seorang pengamal perubatan yang mengendalikan DST sejak 2003, Dr Musa Jantan berkata dos 45mg sehari di klinik swasta yang mengendalikan MDST berharga RM30 tetapi mereka yang menerima rawatan hanya perlu membayar RM10.

Dr Musa yang merupakan penasihat Pendamai, sebuah NGO bagi penagih dadah di Melaka, yakin pendekatan ini pasti membawa hasil yang lebih baik.

"Di sebalik diasingkan daripada masyarakat di pusat pemulihan yang bilangannya terhad, MDST membenarkan penagih dadah untuk meneruskan kehidupan normal mereka, bekerja dan menyumbang kepada masyarakat tanpa dilihat sebagai penjenayah ataupun sampah masyarakat.

Walaupun beliau dan rakan-rakan ada kalanya patah semangat kerana kritikan awam dan gangguan pihak berkuasa terhadap penagih yang mengambil Methadone, lebih ramai pengamal perubatan swasta menunjukkan minat untuk membantu penagih.

SATU PENILAIAN MDST DI MALAYSIA OLEH PAKAR AUSTRALIA

Dr Alex Wordak, seorang doktor pakar dan pengarah Perkhidmatan Alkohol dan Dadah di St.Vincent's Hospital, Sydney, Australia sejak 1982 mendapati program MDST Malaysia terlalu kecil memandangkan ia hanya meliputi 5 peratus daripada penagih.

"Untuk mencapai keputusan yang memberangsangkan, program ini mesti meliputi sekurang-kurangnya 60 peratus daripada penagih," katanya.

Pada waktu yang sama perlu ada subsidi yang lebih lagi bagi MSDT memandangkan ia satu program rawatan yang mahal. Beliau berkata oleh kerana kos tinggi yang terbabit, dos Methadone yang disyorkan di sini jauh sangat rendah.

Beliau juga menekankan peranan MDST dalam mencegah jangkitan HIV.

Mengenai pengalaman Australia dengan MDST, Dr Wordak berkata di negara itu dua pertiga daripada penagih hidup agak normal dan bebas selepas menjalani rawatan selama dua tahun.

"Walaupun begitu, seperti di tempat lain masih terdapat tanggapan salah mengenai MDST di kalangan umum di Australia," jelas beliau.

Dr Wordak juga menunjukkan adalah penting kita mengubah persepsi terhadap mereka yang mengambil dadah dan menghormati hak asasi mereka.

Selama ini kita menganggap mereka sebagai penjenayah, masalah mereka sebagai masalah kesihatan dan sosial. Tetapi kita lupa mereka ialah anak lelaki/anak perempuan/ibu/bapa/bapa saudara kepada seseorang.

Apa yang penting ialah mereka diberi laluan bagi peluang mendapatkan rawatan yang akan membolehkan mereka meneruskan dengan kehidupan bersama keluarga, sahabat dan masyarakat, yang merupakan satu situasi saling menguntungkan bagi semua.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels