Bernama.com
Ekonomi 05 Mei, 2009 16:33 PM
 
Standard Chartered Sasar Pasaran Kad Yang Lebih Besar


KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Standard Chartered Bank Malaysia Bhd yakin mampu mengembangkan penguasaan pasaran kad kreditnya kepada tujuh peratus dalam tempoh 24 bulan ini.

"Pada masa ini, penguasaan pasaran kad kredit bank ialah kira-kira lima peratus yang mewakili hampir setengah juta ahli kad," kata pengurus besar pinjaman pengguna bank berkenaan, Francis Loh pada pelancaran rumusan kewangan pintar "JustOne"nya.

Bank itu menjangkakan kad JustOne akan mendapat sambutan menggalakkan dan telah mensasarkan rumusan itu akan membawa masuk 50,000 ahli kad baru dalam tempoh 12 bulan ini, kata beliau.

Loh berkata kad baru itu disasarkan kepada golongan profesional muda yang mempunyai gaya hidup yang berentak pantas dan lebih kompleks.

Beliau berkata yang statistik menunjukkan lebih daripada 52 peratus penduduk Malaysia adalah di bawah 30 tahun dan inilah pasaran besar yang bank sasarkan.

Menawarkan kemudahan, kad baru itu ialah gabungan kad kredit, debit dan mesin teler automasi (ATM) bersama-sama dengan akaun semasa beserta dengan ganjaran tambahan dan kadar faedah yang menarik.

Mereka yang berpendapatan RM40,000 setahun layak untuk memohon kad berkenaan menerusi semua cawangan Standard Chartered Bank seluruh negara.

Loh berkata kad itu kemudiannya dijangka diperkenalkan di pasaran asing memandangkan Malaysia adalah yang pertama di kalangan pasaran Standard Chartered untuk menawarkan kad JustOne.

"Keupayaan kami untuk terus memperkenalkan produk dan perkhidmatan baru dalam persekitaran semasa ialah bukti kepada kekuatan francais Malaysia kami dan sokongan padu yang kami terima dari para pelanggan," kata beliau.

"Sebagai sebuah bank antarabangsa, kita mempunyai asas kukuh dan kita berkedudukan baik untuk terus berdiri dan membantu para pengguna kami," tambah beliau.

Bank pada masa ini mempunyai lebih daripada 30 cawangan seluruh Malaysia.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels