Bernama.com
Am 25 April, 2009 21:07 PM
 
Jawatankuasa Atasi Kekurangan Doktor Kerajaan Ditubuh - Liow


SEGAMAT, 25 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemantau Modal Insan bagi mengatasi masalah kekurangan pegawai-pegawai perubatan di semua hospital kerajaan di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan beliau sendiri dan dianggotai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha Kementerian dan pegawai-pegawai lain.

"Masalah kekurangan doktor di hospital kerajaan perlu ditangani segera dan kita tidak boleh menunggu lama untuk menyelesaikannya," katanya kepada pemberita semasa melawat Hospital Segamat di sini hari ini.

Menurut Liow, negara pada masa ini hanya mampu memenuhi kapasiti 53 peratus doktor di hospital kerajaan manakala di Johor misalnya hanya 37 peratus kapasiti itu dipenuhi.

Ini katanya, amat serius kerana bukan sahaja rakyat tidak mendapat kemudahan perubatan yang memuaskan malah boleh menimbulkan tekanan kerja terhadap kakitangan perubatan yang sedia ada.

Sebagai langkah jangka pendek, kementerian itu akan mempermudahkan pengambilan 700 orang doktor pakar dari luar negeri secara kontrak bagi mengisi kekosongan di hospital kerajaan di negara ini, kata beliau.

Liow berkata, selain itu kementeriannya akan mendapatkan khidmat pegawai-pegawai perubatan yang telah bersara bagi tujuan yang sama secara kontrak.

Bagi langkah jangka sederhana pula kementerian itu akan mempermudahkan cara menggalakan doktor-doktor swasata kembali berkhidmat secara sukarela di hospital kerajaan sama ada seminggu sekali atau beberapa jam seminggu.

"Kita sedang menimbangkan pembayaran elaun on call yang lebih baik dan mengatasi masalah birokrasi yang menyebabkan seruan kerajaan untuk berkhidmat di hospital kerajaan tidak begitu mendapat sambutan," katanya.

Menurutnya, doktor-doktor swasta menyatakan mereka bukan tidak berminat berkhidmat kepada kerajaan tetapi beberapa masalah termasuk karenah birokrasi sebelum ini, menyebabkan mereka menyambut dingin tawaran kerajaan.

Pada masa ini terdapat 15,000 orang doctor kerajaan manakala 9,000 doktor berkhidmat di hospital swasta.

Terdahulu pada sesi dialog sempena lawatan itu, Liow memberi jaminan bahawa masalah ketiadaan doktor pakar di Hospital Segamat akan diatasi segera.

"Jaminan saya ini bukan satu yang retorik lagi tetapi akan menyelesaikan masalah yang telah berlarutan begitu lama," kata beliau semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Baharom Mohamad.

Baharom mengutarakan masalah tersebut kerana telah dibangkitkan di Parlimen sejak tahun 2004 lagi tetapi masih belum diatasi.

Liow diberitahu tiada seorang pun doktor pakar ditempatkan di hospital tersebut walaupun hospital itu telah dinaik taraf sebagai hospital pakar.

Beliau juga dimaklumkan bahawa hanya 21.7 peratus kapasiti doktor di hospital itu dipenuhi.

Namun demikian, tahap kepuasan pelangan meningkat kepada 60 peratus pada tahun lalu, katanya.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels