Bernama.com
Am 14 Februari, 2009 18:17 PM
 
Pekebun Kecil Perlu Manfaat Program Tanam Semula Sawit


TEMERLOH, 14 Feb (Bernama) -- Para pekebun kecil hendaklah memanfaatkan bantuan Program Tanam Semula Sawit Ke Sawit (TSSS) bagi membantu mereka meningkatkan pendapatan akibat kejatuhan harga komoditi, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib.

Beliau berkata bantuan RM6,000 sehektar itu yang diperuntukkan akan membantu meringankan beban kos pembiayaan tanam semula di samping meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit.

Katanya kementerian juga bekerjasama dengan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bagi merangka kertas kerja untuk dibentangkan ke Kabinet mengenai pendekatan yang boleh diambil bagi membantu pekebun kecil sekiranya harga komoditi terus menjunam.

Jika harga komoditi jatuh di paras tertentu, kementerian akan meminta Kabinet supaya memutuskan bentuk insentif yang boleh diberikan kepada pekebun kecil, katanya kepada pemberita selepas melancarkan TSSS Peringkat Kebangsaan di sini, Sabtu.

Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM16.89 juta bagi membantu pekebun kecil menjalankan projek TSSS membabitkan keluasan 9,000 hektar.

Dalam perkembangan lain, Muhammad berkata semua projek di bawah pakej rangsangan kementerian itu perlu disiapkan sebelum Jun ini untuk merancakkan ekonomi dengan lebih cepat.

Katanya sebanyak RM1 bilion diperuntukkan kepada kementerian untuk melaksanakan projek-projek di kawasan luar bandar, yang merupakan sebahagian daripada pakej rangsangan berjumlah RM7 bilion diumumkan kerajaan pada 4 Nov lepas bagi menangani kelembapan ekonomi negara.

"Di bawah peruntukan itu, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) telah menerima agihan sebanyak RM264 juta untuk melaksanakan pembinaan 8,000 buah rumah di bawah Program Bantuan Rumah dan RM40 juta lagi untuk projek prasarana," katanya.

Pada majlis itu, Muhammad turut mengagihkan dividen Tanam Semula Komersial berjumlah RM207,500 kepada 372 pekebun kecil.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels