Bernama.com
Rencana 07 Januari, 2009 15:57 PM
 
Lembangan Maliau - Dunia Semulajadi Tersendiri


Oleh Mohd Azhar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Pada 1947, semasa Perang Dunia Kedua, seorang juruterbang British dalam penerbangan ke Tawau melintasi apa yang beliau pada mulanya anggap sebagai hutan yang diselubungi kabus.

Tetapi apabila kabus itu lesap, beliau mendapati kapalterbangnya dikelilingi dinding cenuram yang ketinggiannya dari dasar hutan ialah 915 meter.

Penemuan yang tidak diduga ini dilaporkan di dalam Bulletin Borneo yang pertama kali diterbitkan pada 1953, bagaimanapun cerita penemuan itu gagal menarik perhatian ramai.

Dikelilingi cerun yang sangat curam dan sempit, luas kawasan alam semulajadi terpencil di Sabah ini lebih besar sedikit daripada negara jiran Singapura dan tidak boleh diharungi dengan berjalan kaki dari mana-mana arah.

Satu-satunya jalan masuk ialah dari Sungai Maliau - satu-satunya sungai di sini - yang airnya mengalir keluar dari lembangan itu. Laluan ini penuh dengan halangan yang menakjubkan - air terjun dan gaung. Laluan masuk yang terhad ini memastikan rahsia semula jadinya kekal terselindung daripada manusia selama berjuta-juta tahun.

HUTAN TERPENCIL TIDAK DICEMARI PEREDARAN MASA

Pelbagai usaha terlebih dahulu untuk menuruni cenuram itu pada 1960, 1976 dan 1980 gagal dan penerokaan seterusnya terhad di sempadan lembangan itu.

Pada 1981, satu pasukan peninjau daripada Yayasan Sabah mendarat dengan helikopter dan berjaya membuka laluan yang seterusnya membolehkan satu ekspedisi 43 anggota menghabiskan masa tiga minggu di Lembangan Maliau pada 1988.

Ekspedisi sulung itu mendedahkan rahsia keindahan dan misteri dunia yang kekal terselindung daripada peralihan masa; di mana alam semulajadi dan hidupan liar wujud bersama dengan penuh harmoni bagaikan satu dunia tersendiri.

Masyarakat pribumi Murut dari hutan berdekatan percaya bahawa terdapat seekor naga di Tasik Linumunsut - satu-satunya tasik air tawar di Sabah - yang terdapat di dasar lembangan itu. Mereka menjauhi lembangan itu, hanya keluar memburu babi hutan Borneo yang banyak terdapat di pinggir lembangan berkenaan.

Lembangan Maliau mempunyai montaj luar biasa iaitu 12 jenis hutan tropika, yang terdiri daripada hutan montan tanah rendah yang didominasi oleh pokok-pokok konifer yang tinggi, montan belukar yang jarang dan dipterokap tanah rendah dan bukit; semuanya mewakili sebahagian daripada ekosistem yang kompleks yang terbentuk sejak beribu-ribu tahun.

Dengan tiada bukti bahawa bencana semulajadi pernah berlaku di situ, hutan-hutan tua ini begitu mengkagumkan.

GUNUNG TANGGA

Lembangan itu mempunyai bilangan tertinggi air terjun - 19 dan masih ada lagi - dalam mana-mana satu kawasan di Malaysia.

Yang paling terkenal ialah Air Terjun Maliau dalam bentuk yang mirip kepada tujuh anak tangga. Turut mengkagumkan ialah Air Terjun Giluk, Air Terjun Gungseng, Air Terjun Sebandar, Air Terjun Takob-akon dan Air Terjun Hulu Giluk.

Bagaimanapun, maksud `Maliau' masih kurang jelas. Mengikut cerita tempatan satu daripadanya bermaksud ?Gunung Tangga' merujuk kepada pelbagai air terjun serta cenuram di situ. Satu lagi maksud ialah keruh dalam bahasa Murut.

Tidak kira apa maknanya, Lembangan Maliau sudah pasti merupakan sebuah daripada khazanah semulajadi paling signifikan di Sabah jika pun bukan di dunia.

KEPELBAGAIAN FLORA DAN FAUNA

Lebih daripada 80 spesies mamalia, 270 spesies burung serta flora yang terdiri daripada lebih 1,800 spesies, termasuk enam spesies periuk kera dan lebih daripada 80 spesies orkid - jarang dan endemik, telah dikenalpasti di lembangan itu. Hampir suku daripada spesies-spesies ini disenaraikan dalam Senarai Merah Spesies Terancam yang dikeluarkan Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semulajadi (IUCN).

Dengan lebih 50 peratus daripada lembangan itu masih belum diterokai, banyak lagi yang menunggu untuk ditemui. Kini terdapat usaha untuk menyenaraikan Lembangan Maliau sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

TARIKAN DAN AKTIVITI

Diiktiraf sebagai Hutan Terlindung Kelas 1 pada 1997, Maliau kaya dengan hidupan liar dan sangat sesuai bagi aktiviti treking hutan dan untuk menimba pengalaman merentas hutan yang lebih mencabar.

Pusat Pertanyaan dan Maklumat Lembangan Maliau Shell merupakan pusat bagi semua aktiviti maklumat. Terdapat denai-denai dengan tanda arah sejauh lebih 70 km, yang akan membawa anda merentasi hutan hujan untuk sampai ke kem-kem satelit , sehingga ke Air Terjun Maliau.

Menurut Dr Waidi Sinun, Pengurus Kumpulan, Bahagian Pemuliharaan dan Alam Sekitar, Yayasan Sabah Group, pusat itu berperanan mendidik orang ramai mengenai alam semulajadi.

"Tumpuan operasi kami adalah penyelidikan, pendidikan, latihan, dan membangkitkan kesedaran. Kami akan memulakan pembangunan infrastruktur pelancongan seperti chalet dan resort di zon-zon penimbal," kata Dr Waidi kepada Bernama semasa dihubungi melalui telefon.

"Kami mahu lihat Lembangan Maliau muncul sebagai satu daripada destinasi terkemuka untuk menyaksikan hidupan liar dan treking dalam hutan di rantau ini," kata Dr Waidi.

PENGINAPAN

Terdapat sebilangan kem-kem satelit yang dihubungkan oleh denai-denai yang disenggara dengan baik. Kemudahan di kem-kem ini adalah sangat sederhana dan dalam bentuk asas, dengan hanya 20 pelawat yang dibenarkan mendiami mana-mana satu daripada kem itu. Kem-kem ini ialah: Belian Camp, Agathis Camp, Camel Trophy Hut, Ginseng Camp, Seraya Camp, Lobah Camp, serta Rafflesia, Strike Ridge dan Eucalyptus Camp yang hanya boleh sampai dengan helikopter.

PERATURAN UNTUK DIPATUHI

Selain daripada larangan membuang sampah sama sekali, para pelawat MESTI:

- kemukakan satu salinan polisi insurans peribadi yang meliputi pemindahan kecemasan menggunakan helikopter;

- kemukakan sijil kesihatan terkini, yang disahkan oleh seorang doktor;

- dapatkan kebenaran khas dan buat bayaran berasingan bagi penggambaran profesional;

- perlu diiringi jurupandu setiap masa - tidak boleh keluar daripada denai-denai yang telah diperuntuk;

- tinggal di kem-kem yang telah diperuntuk;

- di larang membawa bekas makanan polistrin, beg-beg plastik serta makanan dalam tin, dan jangan mulakan unggun api.

BAGAIMANA UNTUK KE SANA

Untuk sampai ke Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau mengambil masa lima jam dari Tawau atau Keningau menggunakan jalan darat. Anda perlu ada kenderaan pacuan empat roda memandangkan sebahagian besar laluan adalah jalan-jalan tanah.

Sampai di Maliau dengan helikopter adalah pilihan yang hebat tetapi mahal.

Terdapat beberapa helipad yang boleh digunakan bagi pemindahan kecemasan atau pelawat-pelawat yang memilih penerbangan berbanding jalan kaki.

Kebenaran untuk masuk perlu diperoleh terlebih dahulu daripada pejabat Yayasan Sabah sama ada di pejabatnya di Kota Kinabalu atau Tawau. Maklumat lanjut boleh diperolehi di www.ysnet.org.my

Mereka yang berpeluang melawat Lembangan Maliau sudah pasti terpersona dengan aura mistik dunia yang tidak dihuni manusia, satu ekosistem yang masih kekal asli; satu dunia yang terpencil daripada peredaran masa. Semua yang anda lihat di sini akan kekal dalam lipatan ingatan anda selama-lamanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels