Bernama.com
Rencana 30 Disember, 2008 16:46 PM
 
Menanam Impian Kejayaan Sepanjang Hayat


Oleh Izham Shuhaimi Ahmad

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Malaysia memang pemurah dalam memberi penghargaan dan ganjaran kepada atlet yang berjaya dalam bidang sukan masing-masing.

Walaupun Malaysia hanya boleh sekadar bermimpi melihat atlet negara menang pingat di Sukan Olimpik London 2012, namun usaha bagi merealisasi impian itu tidak patut sekadar melepas batuk di tangga.

Pada Sukan Olimpik Beijing Ogos lepas, Malaysia hanya memungut pingat perak menerusi pemain badminton Datuk Lee Chong Wei.

Satu pingat sahaja dianggap tidak berbaloi jika diukur daripada pelbagai program bernilai jutaan ringgit - latihan, pendedahan, pertandingan, persiapan dan pembiayaan - yang diusahakan selama empat tahun oleh persatuan-persatuan sukan yang menyenaraikan atlet masing-masing.

Mengikut statistik populasi, Malaysia mempunyai telaga baka dan bakat daripada kalangan berjuta anak mudanya - berumur antara 5 dan 20 tahun - yang memang berpotensi digilap untuk maju dalam sukan.

Mengikut perancangan sistematik yang berorientasi sains sukan, umur persaraan seseorang dalam sukan berprestasi tinggi mungkin dalam lingkungan 30-an.

Bayangkan atlet yang mengharumkan nama negara daripada usia muda dihadiahkan ganjaran kewangan, sudah seharusnya mampu hidup mewah sepanjang hayat!

Bagaimanapun jaminan hidup selesa dan sihat sebegini tertakluk kepada mentaati beberapa syarat penting seperti atlet tidak sepatutnya mudah berputus asa, mengikuti regim latihan yang tegas, tidak menyimpang daripada matlamat asal untuk meraih pingat dan menguasai kedudukan senarai teratas atlet utama dunia dan serantau seboleh-bolehnya selama satu dekad, mungkin dalam usia antara 25 dan 35 tahun.

MENERAPKAN BUDAYA SUKAN SEPANJANG HAYAT

Antara penggiat senaman sukan sepanjang hayat yang menganalisis prestasi perkembangan sukan tanah air ialah J.C. Francis Carvalho.

Carvalho, pengasas dan pelopor 'EITP Fitness Sports Image' di Petaling Jaya, berkata, beliau telah membuat pemantauan dan perbandingan prestasi atlet Malaysia dengan negara lain di beberapa kejohanan antarabangsa termasuk Sukan Olimpik Beijing 2008.

EITP ialah 'Excellence Innovative Training Programme' yang diilhamkan pada 1986 untuk merekacipta struktur, sistem dan mekanisme bersenaman seisi keluarga untuk menjamin gaya hidup sihat dan menerapkan budaya senaman sehingga akhir hayat.

Carvalho, 65, yang berlatarbelakang bidang perubatan dan sepanjang pengalaman kerjayanya itu beliau turut mengkaji mengenai kehidupan sihat dan terapi alternatif serta perubatan pencegahan dengan mendalami cabang ilmu yang berkaitan seperti latihan kesesuaian, latihan sukan beransur maju dan sistem teknologi senaman.

Hasil dedikasinya itu membolehkan beliau memperoleh beberapa pengiktirafan profesional seperti kejurulatihan, fisiologi senaman, latihan bina badan dan terapi kesejahteraan.

Pada 1990, Carvalho berjaya membangunkan sistem francais EITP bagi memenuhi keperluan dan permintaan pada abad ke-21 dalam latihan senaman kecergasan, mekanisme pencegahan penyakit, kesejahteraan dan pembangunan insan mengikut pendekatan sains sukan, seperti perkembangan mental, penjagaan kesihatan dan pemakanan, fisiologi dan disiplin senaman, pencegahan kecederaan dan pengurusan sukan senaman.

MENGURUS FAKTOR UNTUK BERJAYA SETIAP MASA

Beliau berkata budaya sukan bersenaman patut diterapkan di kalangan rakyat Malaysia untuk menjamin gaya hidup berkualiti dan pembangunan insan secara bersepadu yang merangkumi kesihatan minda, fizikal dan spiritual.

Carvalho merumuskan bahawa antara faktor kejayaan seseorang dalam bidang sukan ialah ikatan keluarga dan pengaruh ibu bapa, keutuhan kepimpinan sukan dan aplikasi ilmu sains sukan.

Faktor ikatan keluarga memainkan peranan besar terutama di kalangan atlet muda yang memberi dorongan bagi mengasah bakat muda untuk berjaya.

Contoh pertama ialah Pamela Jelimo, 19, dari Afrika, kini dikenali sebagai atlet jutawan kerana memenangi semua pertandingan lumba lari 800 meter anjuran Liga Emas Eropah di Budapest, Helsinki, London, Rome dan Zurich.

Kejohanan Grand Prix itu menawarkan hadiah wang AS$1 juta. Pada Sukan Olimpik di Beijing, Pamela merupakan wanita Kenya pertama memenangi pingat emas acara 800 meter.

Contoh kedua ialah Michael Phelps dari Amerika Syarikat yang memenangi lapan pingat emas di Sukan Olimpik Beijing dan mengatasi koleksi pingat emas Mark Spitz, rakan senegaranya terdahulu, yang memenangi 7 pingat emas di Munich, 1976.

Menurut Carvalho, kedua-dua atlet muda ini tidak mungkin berjaya tanpa pengaruh ibu bapa atau penjaga masing-masing.

"Kejayaan cemerlang mereka tidak datang dengan sekelip mata. Mereka sudah diasuh sejak kecil lagi. Mereka ikut program latihan senaman sistematik bertahun-tahun. Di sebalik kejayaan mereka itu sudah tentu ada pemimpin sukan yang teguh", katanya.

Beliau berkata mengurus kesinambungan kejayaan daripada peringkat awal memerlukan bimbingan ketua keluarga dan diteruskan pula dengan sistem latihan bersepadu dan beransur-ansur maju mengikut sasaran yang ditetapkan dari semasa ke semasa oleh gandingan pemimpin persatuan sukan, pakar inovasi sains senaman dan pencipta teknologi sukan.

MENGUKUR ATLET CEMERLANG, NEGARA GEMILANG

Impian melahirkan atlet Malaysia yang berjaya pada Olimpik dan kejohanan dunia yang lain, katanya, harus berteraskan sistem yang teratur ini.

Malaysia ada golongan muda, ada pakar sukan, ada prasarana sukan kelas pertama dan peruntukan serta ganjaran yang lumayan jika dibandingkan dengan negara membangun lain, maka tiada sebab atlet negara tidak boleh berjaya, tegas beliau.

Bagaimanapun, impian itu akan tetap kekal impian kalau pemimpin sukan masih bermentaliti kelas ketiga, bertelagah sesama sendiri atau menyeleweng amanah mentadbir dan menambahbaik tahap pencapaian sukan negara, kata Carvalho.

Beliau menarik perhatian kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan yang sedang menyelesaikan pelbagai masalah pengurusan dalaman dan meleraikan pertikaian perlembagaan serta hak pembangunan dan penganjuran yang dihadapi kira-kira 50 peratus daripada persatuan sukan yang berdaftar di negara ini.

Walaupun senario ini boleh membantutkan perkembangan sukan Malaysia, beliau berkata, program latihan, pemantauan dan ilmu sukan yang diamalkan secara sistematik akan menjamin kemajuan atlet dan memastikan mereka berjaya dalam bidang sukan masing-masing.

Satu kajian yang dilakukan pakar psikologi dan farmasi Perancis, Emile Coue' mendapati bahawa kuasa kata-kata positif yang disebut berulang kali kepada diri juga boleh memberi kesan baik pada minda manusia.

Beliau menemui keajaiban itu apabila melihat perubahan diri individu yang pernah dirawatinya. Pesakit itu sentiasa mendengar kata-kata positif yang diulang acap kali: "Setiap hari, di mana jua, saya jadi baik, semakin baik dan bertambah baik".

Oleh itu tidak salah untuk bermimpi dan menanam impian untuk berjaya asalkan diadun secara sistematik dalam soal amalan hidup sihat, latihan bermutu, ilmu yang cukup, semangat dan galakan keluarga, rangsangan kerajaan dan kemudahan sukan senaman terbaik sebagai medan memupuk kejayaan sepanjang hayat.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels