Bernama.com
Am 29 Disember, 2008 19:09 PM
 
Tumbuhan Orkid Liar Di Hutan Makin Terancam


JOHOR BAHARU, 29 Dis (Bernama) -- Pokok bunga orkid liar yang tumbuh di hutan-hutan dalam negara semakin terancam akibat kegiatan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang mengaut keuntungan dengan memasarkan tumbuhan yang sukar ditemui itu di pasaran antarabangsa.

Penasihat teknikal Persatuan Pencinta Alam Malaysia Johor (MSNJ) Vincent Chow berkata spesis bunga orkid liar negara berhadapan dengan kemungkinan akan pupus sekiranya kegiatan haram pedagang tumbuhan liar itu tidak dibendung.

"Di Johor, mereka (pedagang tumbuhan liar) kini menumpukan perhatian kepada spesis bunga-bunga orkid liar tanah tinggi yang terdapat di Gunung Belumut dan Gunung Ledang."

"Tanpa tindakan pihak berkuasa, kami bimbang spesis-spesis bunga orkid liar jenis tanah tinggi yang terdapat di gunung berkenaan akan berhadapan ancaman kepupusan," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Menurut Vincent sebelum ini kerakusan kegiatan pedagang-pedagang haram itu mengakibatkan spesis-spesis bunga orkid liar di Gunung Panti, berhampiran Kota Tinggi, terus lenyap.

Katanya antara spesis bunga orkid liar yang paling mendapat perhatian pedagang haram adalah dari spesis "Paphiopedilum Barbatum" yang harganya boleh mencecah antara RM5,000 hingga RM10,000 satu pokok.

"Kegiatan mencuri spesis bunga orkid liar ini amat lumayan di mata mereka yang terlibat, dan sebab itulah kami bimbang kekayaan biodiversiti hutan negara mungkin terancam jika kegiatan haram itu tidak dibendung," katanya.

Vincent berkata Modus Operandi pedagang haram itu adalah dengan menjual orkid berkenaan kepada "orang tengah" yang bertindak memasarkannya di pasaran antarabangsa menerusi internet atau menyeludupnya ke negara-negara jiran.

Beliau berkata peminat bunga orkid liar boleh membeli pelbagai spesis tumbuhan itu di internet termasuk yang berada di dalam senarai larangan mengikut "Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora" (CITES), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurutnya pelbagai laman web di internet menyediakan perkhidmatan menjual spesis-spesis bunga orkid liar termasuk yang didapati daripada hutan-hutan di Malaysia.

Katanya salah satu masalah yang ketara di dalam usaha melindungi biodiversiti flora dan fauna negara adalah kebebasan orang ramai untuk keluar masuk kawasan hutan dalam negara.

Cincent berkata hutan-hutan dalam negara mempunyai banyak "pintu masuk" yang boleh digunakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk mengekploitasi kekayaan biodiversiti negara bagi tujuan mengaut keuntungan.

"Di Malaysia, adalah amat mudah untuk warga tempatan dan asing memasuki hutan. Kawalan dan pemantauan pihak berkuasa amat longgar dan ini memberi kesempatan kepada pihak tertentu," katanya.

Vincent juga mendedahkan, terdapat pihak-pihak tertentu di Singapura yang menawar untuk menjual pelbagai jenis tumbuhan liar bernilai dari Malaysia termasuk spesis orkid yang sukar ditemui kepada pembeli yang berminat.

Menurutnya MSNJ berharap pihak berkuasa terutamanya Jabatan Perhutanan dapat bertindak membendung kegiatan pedagang haram itu dengan mengetatkan kawalan dan pemantauan mereka.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels