Bernama.com
Ekonomi 27 Disember, 2008 21:22 PM
 
BSN Tawar Lebih 1,700 Hadiah Setiap Bulan Bagi Cabutan SSP Tahun Depan


IPOH, 27 Dis (Bernama) -- Bank Simpanan Nasional (BSN) hari Sabtu mengumumkan penambahan bilangan hadiah dari 1,616 kepada lebih 1,700 dalam setiap cabutan bulanan Sijil Simpanan Premium (SSP) bagi tahun 2009.

Pengumuman itu dibuat pada majlis Cabutan SSP untuk bulan Disember 2008, di sini, yang telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Ipoh Roshidi Hj Hashim. Cabutan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan BSN dalam memainkan peranannya untuk menggalakkan tabiat menyimpan di kalangan masyarakat Malaysia.

Hadiah-hadiah utama bagi cabutan SSP bulan Disember merupakan sebuah kereta Mercedes Benz E200K, Proton Perdana V6 2.0, Proton Waja 1.6(A) dan Perodua Myvi 1.3 Ezi. Hadiah-hadiah lain yang boleh dimenangi adalah pakej umrah dan pelancongan serta barang-barang elektrik.

Menurut Roshidi, "Kempen seperti cabutan SSP yang diadakan setiap bulan di pelbagai lokasi seluruh Malaysia ini merupakan satu inisiatif BSN yang mempamerkan komitmen dan peranannya sebagai Bank Komuniti dengan mempelbagaikan kemudahan dan peluang untuk saluran penabungan serta pelaburan."

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar BSN (Perbankan Konsumer & Pembangunan Perniagaan), Norazian Ahmad Tajuddin berkata, "Produk SSP merupakan salah satu produk simpanan yang popular di kalangan rakyat Malaysia dan hadiah-hadiah yang ditawarkan juga turut ditambah untuk menggalakkan orang ramai terus menyimpan dengan SSP.

"Setakat hari ini jumlah pemegang SSP juga semakin ramai dan telah meningkat melebihi 1.4 juta orang dengan nilai simpanan melebihi RM900 juta. Sebagai sebuah bank yang simpanannya dijamin oleh Kerajaan, adalah menjadi tanggungjawab BSN untuk menggalakkan tabiat menabung dan menyimpan di kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Untuk 2009, BSN masih menawarkan hadiah-hadiah eksklusif seperti kereta mewah BMW 523i, BMW 320i, Mercedes Benz 523i, BMW 320i, Mercedes Benz E200K, C200K dan Toyota Camry 2.0E. Hadiah-hadiah baharu lain antaranya adalah barang kemas, set teater rumah dan telefon bimbit.

Kadar dividen yang akan dibayar untuk tahun 2008 adalah sebanyak 0.75% dengan jumlah keseluruhan dividen yang akan dibayar hampir RM5 juta. Tarikh pembayaran telah ditetapkan pada 15 Januari 2009. Pihak bank juga akan meneruskan pembayaran dividen SSP untuk tahun 2009 yang akan dibayar pada tahun 2010 dengan syarat penyimpan mesti mempunyai baki simpanan sebanyak RM2,000 sebelum 1 Julai 2009.

Orang ramai yang ingin memulakan simpanan mereka dengan SSP kini boleh membeli sijil-sijil berkenaan di kaunter cawangan BSN seluruh Malaysia, mesin ATM BSN, Mesin Deposit Tunai BSN atau melalui Unit Bank Bergerak BSN di lokasi-lokasi terpilih.

Selain itu, orang ramai juga boleh membeli SSP melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Keputusan cabutan SSP boleh disemak di laman web BSN di http://www.bsn.com.my, melalui akhbar-akhbar harian utama dan juga melalui SMS.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels