Bernama.com
Rencana 04 Disember, 2008 10:48 AM
 
Pentingnya Taman Laut Untuk Tujuan Pemuliharaan


Oleh Melati Mohd Ariff

PULAU TIOMAN, 4 Dis (Bernama) -- Menyedari penyusutan sumber perikanan dari laut, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad mengarahkan Kementerian Pertanian (Jabatan Perikanan) pada 1983 menubuhkan Taman Laut Negara.

Langkah itu dilihat sebagai satu cara mempertingkat sumber perikanan melalui pemeliharaan kawasan berlindung, membiak serta tempat mencari makan dan membesar pelbagai spesies ikan komersial.

Taman laut ialah kawasan perairan laut sejauh 2 batu nautika yang diukur dari paras air surut di sekeliling pulau yang diwartakan, dan sebarang aktiviti menangkap ikan adalah antara larangan yang dikuatkuasakan di dalam kawasan berkenaan.

Setakat ini 42 buah pulau di seluruh negara diwartakan sebagai taman laut. Ia terdiri daripada Kepulauan Pulau Tioman (Pahang), Kepulauan Pulau Redang dan Pulau Perhentian (Terengganu), Kepulauan Pulau Tinggi dan Pulau Sibu (Johor), Kepulauan Pulau Payar (Kedah) dan Kepulauan Wilayah Persekutuan Pulau Labuan.

HABITAT KRITIKAL

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM), Abdul Jamal Mydin, kebanyakan kawasan yang diwartakan sebagai taman laut adalah kawasan terumbu karang.

"Terumbu karang menyediakan ruang untuk ikan membiak dan membesar sebelum berhijrah ke laut dalam yang memberi sumber tangkapan kepada kaum nelayan. Secara tidak langsung, kita membantu nelayan untuk membesarkan ikan-ikan ini kepada saiz komersial. Bayangkan jika tidak ada taman laut. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Pulau Pangkor dan Pulau Langkawi!

"Justeru kawasan terumbu karang ini bukan sahaja perlu dipelihara tetapi dipulihara memandangkan ia juga terdedah kepada ancaman kemusnahan sama ada secara semula jadi atau akibat kegiatan manusia," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau berkata selain memulihara terumbu karang, JTLM juga menyediakan tukun tiruan di bawah program pemuliharaan sebagai tempat pembiakan ikan dan baik pulih habitat.

"Dahulu kita banyak menggunakan tayar terpakai tetapi dihentikan kerana dikatakan memberi kesan negatif kepada kualiti air laut. Sekarang ini kita banyak menggunakan konkrit, PVC dan juga bot-bot usang yang ditenggelamkan untuk menjadi tukun bot," kata Abdul Jamal.

Abdul Jamal dilantik sebagai Ketua Pengarah JTLM pada 13 Okt 2008 setelah bersara wajib pada pada 26 Mei 2008. Beliau sebelum itu berkhidmat sebagai Pengarah Seksyen Taman Laut selama tiga tahun.

EKOPELANCONGAN

Menurut Abdul Jamal, terumbu karang adalah juga elemen penting untuk ekopelancongan.

Secara keseluruhannya, kata beliau, kira-kira setengah juta pelancong setiap tahun memilih pulau taman laut sebagai destinasi percutian mereka.

Pulau Tioman sahaja, katanya, menerima kedatangan kira-kira 200,000 pelancong setahun.

Sebahagian besar pelancong, kata beliau, datang untuk melihat keindahan pelbagai spesies terumbu karang dan ikan yang banyak terdapat di taman laut.

Malaysia, kata Abdul Jamal, sememangnya kaya dengan khazanah laut dengan lebih 400 spesies batu karang dan lebih 1,000 spesies ikan.

"Bagaimanapun, kita perlu ada keseimbangan antara langkah pemuliharaan dan ekopelancongan. Ini bagi memastikan ekopelancongan tidak menjejaskan terumbu karang dan menjejaskan usaha-usaha pemuliharaan yang dijalankan," jelas beliau.

USAHA TAMBAH TAMAN LAUT

Menurut Abdul Jamal, pihaknya berharap dapat menambah bilangan taman laut yang ada dan satu jerayawara atau 'road show' dirancang diadakan dalam tempoh suku pertama 2009 bagi tujuan itu.

Katanya satu daripada kriteria untuk sesebuah pulau itu diwartakan sebagai taman laut, sama ada didiami manusia atau tidak ialah pulau itu mesti mempunyai terumbu karang dan sumber marin yang lain.

"Kita juga memerlukan persetujuan kerajaan negeri kerana semua pulau di Malaysia ini adalah kepunyaan kerajaan negeri di bawah bidang kuasa masing-masing. Kita perlu menyakinkan kerajaan negeri dan sekiranya pihak berkenaan tidak bersetuju, kita tidak boleh mewartakan sebagai Taman Laut.

"Seperti contoh Pulau Sembilan di Pulau Pangkor yang sepatutnya diwartakan. Dulu pulau ini begitu cantik dan mempunyai banyak spesies batu karang dan ikan. Kami berunding dengan kerajaan negeri tetapi tidak mendapat persetujuan kerana bantahan daripada pihak tertentu.

"Sekarang batu karang dah musnah dan ikan pun dah tak ada kerana terlalu banyak bot pukat tunda," jelasnya sambil menyatakan banyak lagi pulau di negara ini yang mengalami nasib yang sama seperti Pulau Sembilan.

Menurut beliau, kerajaan negeri perlu melihat manfaat jangka panjang yang boleh diperoleh dengan mewartakan pulau yang ada di negeri masing-masing sebagai taman laut.

Dalam hal ini, Abdul Jamal berkata kerajaan negeri Terengganu setakat ini paling banyak memberikan kerjasama dalam mewartakan pulau di negeri itu sebagai taman laut.

"Kerajaan negeri Terengganu amat prihatin mengenai kepentingan pemuliharaan. Hampir semua pulau di Terengganu sudah diwartakan sebagai taman laut kecuali Pulau Bidong atas sebab-sebab keselamatan.

"Menerusi jerayawara yang bakal dibuat suku pertama tahun depan, kami akan menjelaskan mengapa perlunya ada taman laut, faedahnya kepada negara dari segi sosial dan ekonomi dan mengapa kita perlu melindungi terumbu karang," katanya.

Negeri-negeri yang termasuk dalam senarai jerayawara JTLM ialah Pulau Pinang, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Kelantan.

AKTA TAMAN LAUT YANG BARU

Abdul Jamal berkataa pewartaan Taman Laut Malaysia diperuntuk di bawah Seksyen 41-45 Akta Perikanan 1985 kerana taman laut ialah sebuah seksyen di bawah Jabatan Perikanan Malaysia.

Namun senario itu sudah berubah apabila seksyen berkenaan kemudian dipindahkan ke Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2003. Pada Julai 2007, ia dinaikkan taraf sebagai sebuah jabatan dan dikenali sebagai Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM).

"Dengan perubahan ini, kita merasakan perlu ada satu Akta Taman Laut yang baru di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Draf Akta telah disiapkan dan dikemukakan ke Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk tindakan selanjutnya dengan Jabatan Peguam Negara.

DENDA LEBIH TINGGI

Antara perkara penting terkandung dalam draf Akta baru itu ialah kadar denda yang lebih tinggi untuk bot menangkap ikan yang didapati bersalah menceroboh perairan taman laut.

"Jumlah maksimum denda sekarang tidak lebih dari RM20,000 bergantung kepada jenis kesalahan dan saiz bot. Kalau hendak diikutkan, sekali ke laut dah boleh bayar denda. Nelayan tahu Pulau Tioman ini taman laut, mereka ada GPS (Global Positioning System), mereka tahu lokasi bot tetapi mereka sanggup ambil risiko. Kalau kena bayar denda, mereka akan membayarnya dan seterusnya mengulangi kesalahan yang sama.

"Kadang kala mereka guna alasan mencari perlindungan. Musim tengkujuh umpamanya banyak bot nelayan asing dan dalam proses mencari perlindungan, mereka turut menangkap ikan," katanya.

Mengambil contoh di Pulau Tioman, Abdul Jamal menyatakan bahawa dari Januari sehingga November 2008, sejumlah 29 kes tangkapan dibuat berbanding hanya 13 tangkapan sepanjang 2007.

Dengan Akta yang baru itu juga, jelasnya, kuasa kompaun bot diletak di bawah JTLM berbanding sekarang di bawah Jabatan Perikanan Malaysia.

PEMULIHARAAN TAMAN LAUT

Sejak 1994, setiap pelancong tempatan dan asing yang berkunjung ke taman laut diwajibkan membayar fi pemuliharaan iaitu RM5 untuk orang dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

Bayaran yang dikutip di setiap pintu masuk ini sama ada di lapangan terbang atau jeti termaktub di bawah Akta Fi 1951 Perintah Fi (Taman Laut Malaysia 2003).

"Setiap pelawat termasuk kakitangan kerajaan dikenakan bayaran, kecuali penduduk pulau, mereka yang bekerja di taman laut dan kakitangan kerajaan yang mendapat pengecualian daripada Ketua Pengarah JTLM.

"Kita tak banyak menghadapi masalah daripada pelancong asing, masalahnya lebih kepada pelancong tempatan, ada yang enggan membayar," katanya.

Setiap tahun, kutipan fi dianggarkan sekitar RM1.5 juta.

Menurut Abdul Jamal, wang yang dikutip digunakan untuk program pemuliharaan pulau termasuk kerja pembersihan pantai, pengawasan, operasi penguatkuasaan dan sebagainya memandangkan tugas pemuliharaan amat penting untuk kesejahteraan pulau.

Kadar fi yang dikenakan mungkin akan dikaji semula, antaranya sesuai dengan keadaan semasa, katanya.

TAMBAH KECEKAPAN

Menurut beliau, pihaknya turut merancang menambah bilangan bot peronda yang ada. Buat masa ini JTLM mempunyai 12 buah peronda laju untuk kegunaan di 42 buah pulau taman laut. Sebanyak dua bot baru sedang dibina untuk 2008 dan empat buah lagi akan diperoleh pada 2009.

"Semua bot ini (12 unit) asalnya dari Jabatan Perikanan, sebahagian besarnya tidak lagi sesuai digunakan terutama ketika musim tengkujuh sedangkan kita perlu membuat rondaan dan penguatkuasaan. Masa musim inilah bot-bot pukat tunda asing terutamanya mengambil kesempatan menangkap ikan ketika mencari perlindungan di pulau-pulau taman laut.

"Kami amat berharap dapat membeli beberapa buah bot yang sesuai digunakan dalam apa jua cuaca cuma kosnya lebih tinggi. Harga sebuah bot boleh mencecah RM10 juta," katanya.

JTLM juga, kata Abdul Jamal, mahu meningkatkan kecekapan pengurusan dan satu daripada langkah yang perlu ialah menambah bilangan kakitangan daripada 86 kepada yang disasarkan, 240 orang pada tahun 2008.

"Untuk kakitangan baru, kami boleh buat pelantikan menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam cuma jawatan kenaikan pangkat, kami perlu mendapatkan calon daripada Jabatan Perikanan memandangkan kami masih menggunakan skim Jabatan berkenaan. Kami berharap dapat mengadakan skim JTLM sendiri tetapi ini akan mengambil masa yang panjang," jelasnya.

PEMBABITAN KOMUNITI TEMPATAN

Bagi memastikan setiap perancangan pemuliharaan taman laut mencapai sasaran, pihak JTLM turut mendapatkan pembabitan komuniti tempatan.

Usaha ini banyak membantu kelancaran program terutama dari segi penguatkuasaan memandangkan JTLM masih kekurangan tenaga kakitangan.

Abdul Jamal memberi contoh program 'Rakan Park' yang ditubuhkan di Pulai Tioman di mana anggotanya dipilih daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Jelas beliau, anggota Rakan Park menjadi 'mata' dan 'telinga' JTLM antaranya memberi maklumat jika ada berlaku kes pencerobohan taman laut termasuk di kawasan aktiviti memancing atau menangkap ikan atau mengambil batu karang, gamat dan sebagainya.

"Program Rakan Park ini menanam semangat 'sense of belonging'. Kami beri mereka tanggungjawab dan mereka merasa lebih bertanggungjawab dan komited menjaga pulau masing-masing. Tambahan pula terdapat penduduk tempatan terbabit dalam industri ekopelancongan memandangkan menangkap ikan bukan lagi mata pencarian utama mereka," katanya.

Menurut beliau, anggota Rakan Park juga pernah dibawa untuk kursus motivasi dan pendedahan di Pulau Pangkor di mana mereka turut berpeluang berinteraksi dengan penduduk tempatan.

"Mereka dengar sendiri keluhan penduduk Pulau Pangkor tentang bagaimana mereka terpaksa menjual bot menangkap ikan kerana sudah tiada ikan untuk ditangkap," katanya.

Konsep program Rakan Park, jelas beliau, akan diperluas dan dilaksanakan di pulau-pulau taman laut yang lain secara berperingkat. Contohnya, program 'Reef Ranger di Pulau Redang, Terengganu yang antaranya membabitkan penduduk tempatan, pemilik chalet dan pengusaha bot.

PENTING JUGA PENDIDIKAN

Menurut Abdul Jamal, JTLM juga bukan setakat terbabit dalam bidang penguatkuasaan tetapi juga dalam urusan pelancongan, pemantauan, penyelidikan dan pengurusan pulau taman laut.

Di dalam bidang pendidikan, beliau berkata pihaknya dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) turut mengadakan program kesedaran yang membabitkan bukan sahaja kanak-kanak sekolah, pelajar universiti tetapi juga penduduk kampung dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pembabitan kanak-kanak sekolah terutama sekolah di pulau taman laut dimulakan seawal darjah satu. Setakat ini, program berkenaan dijalankan di Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Tioman dan Pulau Payar.

"Fokus kita adalah pemuliharaan. Kita mahu anak-anak ini sedar tentang kepentingan pemuliharaan sumber, kepentingan menjaga kebersihan pulau dan paling penting supaya anak-anak ini juga ada sense of belonging. Tua, muda, sama-sama bekerja sebagai satu pasukan untuk menjaga pulau yang bukan sahaja akan menguntungkan negara tetapi juga masyarakat pulau khususnya dari segi ekonomi dan sosial.

"Justeru, kami melihat pendidikan itu amat penting. Penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi. Kadang kala kalau kita beritahu mungkin ada yang tak berapa hendak mendengar tetapi kalau anak sendiri beritahu bapa supaya jangan memancing, mungkin ia lebih berkesan. Psikologi begini besar impaknya. Larangan memancing atau menangkap ikan ini, sebelum ini memang ramai yang tak setuju tetapi sekarang menerusi program kesedaran, mereka yang menentang terutamanya sudah nampak manfaatnya," jelas beliau.

Abdul Jamal berkata pihaknya merancang mendapatkan kerjasama pihak berkenaan untuk memasukkan program taman laut ke dalam ko-kurikulum sekolah sebagai usaha menyemarakkan lagi pengetahuan mengenai pemuliharaan.

-- BERNAMA
Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels