Bernama.com
Ekonomi 02 Disember, 2008 20:08 PM
 
Koperasi Khidmat Dan 12 Koperasi Pengguna Sabah Laksana Program Padanan Perniagaan Pertama


KOTA KINABALU, 2 Dis (Bernama) -- Syarikat Kerjasama Perkhidmatan Awam (Khidmat) dan koperasi pengguna di Sabah akan melaksanakan Program Pemadanan Perniagaan yang pertama melibatkan pembelian pukal dengan harga yang lebih murah melalui koperasi Khidmat.

Ketua Sektor Pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Hawa Mohamed Salleh berkata program itu merupakan satu daripada peluang perniagaan yang digalakkan oleh SKM.

"Sebahagian besar program pemadanan perniagaan yang dilaksanakan oleh koperasi selama ini melibatkan koperasi dengan syarikat swasta.

"Namun program pemadanan perniagaan di antara Khidmat dengan koperasi-koperasi pengguna di Sabah merupakan program pemadanan perniagaan yang melibatkan koperasi dengan koperasi dan program seumpama ini adalah yang pertama di negeri ini," katanya.

Hawa berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Khidmat dengan koperasi-koperasi pengguna di Sabah, di sini Selasa.

Beliau berkata sekurang-kurangnya 12 koperasi pengguna akan terlibat dalam fasa pertama pelaksanaan program pembelian barangan pengguna secara pukal melalui Khidmat dan berharap peluang seumpama itu akan diperluaskan kepada lebih banyak koperasi pengguna di Sabah pada masa depan.

Katanya matlamat program itu ialah untuk memudahkan koperasi pengguna di negeri ini mendapatkan stok barangan pengguna dengan harga yang lebih murah.

"Saya percaya melalui pendekatan pembelian berpusat, koperasi-koperasi pengguna di Sabah mampu membeli stok barangan pengguna dalam kuantiti yang besar dan dapat menikmati faedah ekonomi bidangan.

"Faedah ini kemudian boleh disampaikan kepada anggota koperasi dalam bentuk diskaun atau harga barangan yang lebih rendah. Harga yang lebih murah bukan sahaja akan dinikmati oleh anggota koperasi tetapi masyarakat setempat yang berlanggan di kedai koperasi," katanya.

Menurut Hawa, mekanisma itu boleh membantu kerajaan dari segi kawalan peningkatan harga barangan yang keterlaluan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Katanya sektor koperasi juga boleh memainkan peranan mengawal kenaikan harga yang berlebihan terutama dalam keadaan kadar inflasi yang semakin meningkat.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels