Bernama.com
Rencana 01 Disember, 2008 15:18 PM
 
UTP Maju Seiring Cabaran Masa Depan



Prof Madya Ir Dr Muhd Fadhil B Nuruddin

Oleh Zaharin Mat Noor

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) ditubuhkan pada 1997 apabila syarikat petroleum nasional itu dipelawa kerajaan supaya membuka sebuah universiti.

Dikenali sebagai Institut Teknologi Petronas (ITP) sebelum ini, institut itu memulakan operasi di Bangi, Selangor pada 1995. Tahun berikutnya ITP memindahkan operasinya ke kampus UTP sekarang di Bandar Seri Iskandar, Perak.

Dengan penekanan yang diberikan kini ke arah usaha meningkatkan tenaga kerja berilmu, kreatif dan inovatif, UTP aktif mempromosi program pasca siswazahnya.

Bernama baru-baru ini mengadakan wawancara dengan ketua Jabatan Kejuruteraan Awam universiti ini, Prof Madya Ir Dr Muhd Fadhil Nuruddin pada Karnival Kebangsaan Kerjaya Siswazah 2008 yang diadakan di Pusat Pameran Mid Valley di sini.

Beliau bercakap mengenai pengajian pasca siswazah UTP serta aspirasi universiti itu. Berikut ialah petikan wawancara itu.

Soalan : Kami difahamkan UTP bukan sahaja mahu menggalakkan pengajian tinggi di peringkat ijazah asas tetapi juga peringkat pasca siswazah. Boleh Prof jelaskan lebih lanjut mengenai perkara ini?

Jawapan : UTP sudah wujud hampir 12 tahun dan selama beberapa tahun kami memberi tumpuan terhadap pengajian peringkat ijazah. Kini kami beralih untuk menggalakkan pengajian pasca siswazah. Pada asasnya bagi pengajian pasca siswazah, pelajar boleh datang membuat kerja kursus dan tugasan atau menjalankan program penyelidikan.

Alasan UTP memperkenal pengajian pasca siswazah ialah untuk melahirkan graduan yang berpengetahuan dalam bidang mereka memandangkan negara sedang menuju ke arah k-ekonomi. Tujuan kewujudan UTP sendiri ialah untuk menyediakan peluang kepada orang ramai mendaftar mengikuti pengajian pasca siswazah dan kemudian membolehkan mereka memberi sumbangan kepada masyarakat, industri dan negara dengan lebih efektif melalui peningkatan ilmu yang diperoleh daripada pengajian pasca siswazah mereka.

Soalan : Apakah kualiti yang diharapkan UTP untuk disemai dalam kalangan siswazahnya?

Jawapan: Memandangkan UTP menggalakkan pendidikan yang mengutamakan pencapaian; kami berharap dapat melahirkan pelajar pasca siswazah yang:

1. Berupaya menyumbang dan nasihat mereka akan sering diminta mengenai perkara yang berkaitan dengan kepakaran mereka. Keupayaan memberikan nasihat kepada industri harus direalisasikan selepas tamat pengajian.

2. Dalam jangka masa panjang, kemungkinan dalam tempoh tiga atau empat tahun (selepas lulus), kami mahu mereka bukan hanya menjadi pakar tetapi juga pemimpin dalam bidang masing-masing bagi industri dan negara.

Soalan : Bagaimana UTP menggubal kurikulum akademiknya? Adakah kurikulum ini digaris berdasarkan kurikulum institusi lain?

Jawapan : Sebelum penubuhan UTP, satu kajian dilakukan dan daripada kajian itu, Pelan Induk Akademik dan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) digubal yang menyediakan garis panduan bagi kami untuk maju ke depan. Pada masa itu kami mendapatkan maklumat daripada pelbagai pihak atau pihak yang berkepentingan seperti pengamal industri, profesional, ibu bapa, siswazah serta universiti di dalam dan luar negeri dan daripada input itu kami menetapkan visi, misi dan kurikulum UTP.

Berdasarkan kajian itu, didapati pelajar teknologi dan kejuruteraan adalah kompeten secara teknikalnya tetapi kekurangan dari segi kemahiran komunikasi, kapasiti pembelajaran sepanjang hayat, keupayaan penyelesaian sintesis, kepintaran perniagaan, pemikiran kritikal, dan kebolehan praktikal. Tujuh kebolehan yang dikenal pasti itu merupakan fokus utama dalam sistem penyampaian dan diharapkan kelemahan yang ada akan ditangani apabila UTP melaksanakan kurikulum akademiknya.

Soalan : Boleh terangkan mengenai beberapa program unik yag ditawarkan UTP. Apakah kursus-kursus ini diiktiraf di peringkat antarabangsa?

Jawapan: Malaysia merupakan sebuah daripada negara anggota Perjanjian Washington dan semua program kami diiktiraf oleh Majlis Pentauliahan Kejuruteraan Malaysia dan oleh itu program kami diiktiraf antarabangsa.

Di peringkat Sarjana, kami menawarkan tiga program kerja kursus dengan kerjasama universiti terkemuka lain.

Sebagai contoh dalam Kejuruteraan Petroleum, UTP bekerjasama dengan Heriot-Watt University, Scotland, yang merupakan antara universiti terbaik dalam bidang kejuruteraan petroleum. Kemudian kami teruskan dengan Proses Integrasi dengan kerjasama Universiti Manchester. Satu lagi ialah Sarjana Geosains Petroleum di mana kami bekerjasama dengan Institut Francais du Petrole, Perancis. Kursus-kursus ini boleh dianggap unik kerana kami mempunyai sekumpulan pensyarah tempatan dan asing yang mengajar.

Soalan : UTP sudah mengadakan lapan konvokesyen. Sejauh mana penerimaan industri terhadap siswazah UTP? Apakah maklum balas yang Prof terima setakat ini?

Jawapan : Setakat ini kami amat berpuas hati dengan siswazah kami. Malah kami mempunyai Penunjuk Utama Prestasi (KPI) di mana apabila pelajar kami lulus dalam jangka masa enam bulan, sembilan puluh peratus daripada mereka sepatutnya mendapat pekerjaan. Setakat ini sebelum mereka keluar universiti lagi, tiga puluh peratus telah menerima tawaran pekerjaan dam kami gembira dengan perkembangan ini. Kami juga melakukan CQI (Pembaikan Berterusan Kualiti) di mana kami mengadakan interviu dan maklum balas permintaan daripada majikan mengenai kualiti lulusan UTP.

Buat masa ini, maklum balas daripada majikan amat positif dan jika terdapat banyak perkara yang perlu dibaiki, kami akan memasukkannya ke dalam kurikulum kami.

Soalan : Bagi tempoh katakan, 10 atau 15 tahun akan datang, apa yang dicita-citakan UTP dan apakah insiatif yang dilakukan untuk meletakkan UTP ke tahap itu?

Jawapan : Kami meletakkan beberapa sasaran penting untuk dicapai dan yang terdekat ialah tahun 2010 -- kami berazam menjadi sebuah Universiti Penyelidikan dengan mendapatkan geran, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negeri. Menjelang 2015, kami mahu diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai rakan pilihan bagi industri minyak dan gas, dan menjelang 2020 akan diiktiraf antarabangsa sebagai rakan pilihan bagi industri dan anggota komuniti saintifik yang dihormati.

Oleh itu pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan untuk mencapai sasaran-sasaran ini. Inisiatif ini termasuk tindakan bersungguh dan penekanan terhadap penyelidikan penyediaan asas dan yang berkaitan IP. Projek yang sedang berjalan termasuk penggunaan bahan sisa di dalam konkrit, sistem bangunan perindustrian pembangunan enjin, teknologi mesra alam, kejuruteraan air dalam, dan nanoteknologi.

Soalan : Apakah pencapaian paling signifikan yang dicapai UTP?

Jawapan : Setakat ini kami berbangga dengan beberapa pencapaian seperti:

- Pameran 2008 di Brussels, UTP menerima tiga pingat emas dan satu perak daripada empat penyertaan. UTP juga menerima anugerah khas satu daripada penyelidikannya bertajuk "HARSH Concrete" yang menggunakan sisa pertanian.

- Pada pameran Irnova Eureka 2007 di Brussels, UTP menerima empat pingat emas, empat perak dan satu gangsa.

- Pada Pameran Ciptaan dan Produk Baru 2007 di Pittsburgh, Amerika Syarikat (Jun 2007), UTP menerima lima pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

- Semasa Pameran Antarabangsa ke-17 Ciptaan, Inovasi, Reka bentuk Perusahaan dan Teknologi, UTP mengutip enam pingat emas, dua perak dan tujuh gangsa dan menerima anugera khas, Moscow Award, bagi Ciptaan Terbaik dalam Sains Perubatan.

- Menerima satu pingat emas dan dua perak pada Pameran Antarabangsa Ciptaan, Teknik dan Produk Baru ke-34 di Geneva.

- Juara keseluruhan dan Anugerah gerai terbaik pada Cabaran Rekaan dan Inovasi Kejuruteraan 2006.

- Pada Pameran Ciptaan Inovasi, Rekaan Perusahaan dan Teknologi ITEX 2005 ke-16, UTP menerima satu emas, lapan perak dan 10 pingat gangsa.

- Menerima satu pingat emas dan satu perak pada pameran IPTA R&D 2005, di Pusat Dagangan Dunia Putra.

- Menerima Anugerah Pilihan Ramai, Anugerah Kebolehpasaran dan hadiah saguhati bagi lima projek yang dikemukakan pada Cabaran Rekaan dan Inovasi Kejuruteraan 2005.

- Hadiah pertama pada Cabaran Rekaan Kejuruteraan pertama TSS Malaysia 2005

- Juara keseluruhan dalam Cabaran Pertandingan CEO Muda Antarabangsa 2004 di Singapura.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels