Bernama.com
Am 28 November, 2008 15:42 PM
 
RM32 Juta Bantuan Pekebun Kecil Dan Ladang Untuk Tanam Semula Kelapa Sawit


JOHOR BAHARU, 28 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri menerima peruntukan RM32 juta daripada kerajaan pusat sebagai bantuan kepada pekebun kecil dan ladang di negeri ini untuk menanam semula kelapa sawit.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor Abdul Aziz Kaprawi berkata penanaman semula itu melibatkan pokok kelapa sawit yang berumur 25 tahun ke atas dan pekebun kecil dan ladang yang berminat boleh membuat permohonan bantuan itu mulai Isnin ini.

Bantuan itu diberikan bagi membantu petani dan ladang yang sedang mengalami kesulitan berikutan harga kelapa sawit yang menurun, katanya menjawab soalan Datuk Tee Siew Kiong (BN-Pulai Sebatang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata tanaman semula itu bertujuan mengurangkan pengeluaran 800,000 tan dan paras stok minyak sawit sedia ada, yang kini sebanyak dua juta tan sekaligus menstabilkan semula harga minyak sawit di pasaran.

Bulan lepas, kerajaan pusat mengumumkan peruntukan RM200 juta sebagai bantuan kepada pekebun kecil dan ladang di seluruh negara untuk penanaman semula kelapa sawit dengan bantuan RM1,000 bagi satu hektar.

Daripada jumlah itu, Abdul Aziz berkata sejumlah RM32 juta diperuntukkan di negeri ini selepas kerajaan negeri mengenalpasti terdapat sebanyak 32,000 hektar kawasan kelapa sawit tua daripada keseluruhan 670,000 hektar penanaman kelapa sawit di seluruh Johor.

Dalam pada itu, beliau berkata di samping tanaman semula kelapa sawit, pekebun kecil juga boleh mengusahakan tanaman integrasi sawit jangka pendek atau panjang dengan tanaman lain seperti tebu, nanas, ubi kayu, buah-buahan dan sayur-sayuran bagi menambah pendapatan.

Katanya, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyediakan bantuan khidmat nasihat dan kepakaran dalam pelbagai tanaman integrasi sawit bagi membantu pekebun kecil tersebut.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels