Bernama.com
Am 13 November, 2008 14:07 PM
 
Ayah Pin Baru-Baru Ini Berada Di Terengganu, Kata Polis


KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Ayah Pin atau nama sebenarnya Arifin Muhamad, 65, yang dipercayai menghilangkan diri ke sebuah negara jiran kerana didakwa mengasaskan satu ajaran sesat, dilaporkan pernah pulang ke tanah air baru-baru ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini.

Beliau berkata polis bagaimanapun tidak dapat mengambil tindakan terhadapnya setelah Jabatan Agama Islam Negeri Terengganu memaklumkan kepada polis untuk tidak menahannya sehingga siasatan selesai.

"Polis mempunyai maklumat bahawa Ayah Pin yang dipercayai berada di Thailand Selatan telah pulang ke tanah air. Apabila dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Negeri Terengganu sama ada untuk menahannya, jabatan berkenaan mengatakan tidak perlu," kata Musa ketika menyampaikan ucap utama pada seminar Memperkasakan Pentadbiran Keadilan Di Mahkamah Syariah di Universiti Islam Antarabangsa di Gombak dekat sini.

Musa berkata bahawa tindakan tidak dapat diambil Ariffin disebabkan tidak ada penyelarasan penguatkuasaan antara Jabatan Agama Islam Negeri Terengganu dan polis.

Namun, katanya, beliau telah mengarahkan Ketua Polis Terengganu untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada Jabatan Agama Islam Negeri Terengganu.



Musa berkata penyelarasan Undang-undang Syariah antara Jabatan Agama Islam dan Polis Diraja Malaysia perlu diperbaiki lagi bagi mengelak kepincangan terutama daripada segi penguatkuasaan.

"Polis hanya membantu Jabatan Agama Islam terutama dari segi penguatkuasaan. Kita tidak mahu timbul persoalan di kalangan masyarakat yang menyatakan Jabatan Agama Islam dan polis tidak serius dalam menjalankan tugas mereka," katanya.

Satu lagi isu berhubung penyelarasan antara Jabatan Agama Islam dan PDRM yang turut dibangkitkan oleh Musa ialah tentang pemberian jaminan kepada mereka yang ditahan di bawah Undang-undang Syariah.

Dalam kes khalwat contohnya, ia merupakan kes yang dibenarkan untuk diikat jamin tetapi terdapat pegawai Mahkamah Syariah yang tidak membenarkan ikat jamin dikeluarkan "hingga menimbulkan pergeseran antara polis dan Jabatan Agama Islam", katanya.

"Jamin hanya tidak dibenarkan sekiraya alamat dan tempat tinggal mereka yang ditahan diragui oleh pihak kita (polis dan Jabatan Agama Islam). Kalau tahu di mana tempat tinggal mereka, tahu mereka tidak akan larikan diri, jamin harus diterima.

"Masalah ini yang kadang kala menyebabkan timbul pergeseran dan kita perlu berbincang agar pergeseran tersebut tidak timbul lagi," katanya.

Musa berkata isu murtad juga perlu ditangani sebaik mungkin agar tiada keraguan dan ketidakfahamanan timbul terutama dalam kalangan bukan Islam terhadap undang-undang Islam.

"Kena periksa betul-betul sama ada sudah masuk Islam atau tidak. Saya pernah mencadangkan kepada Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) agar memanggil keluarga yang hendak memeluk agama Islam agar mereka tahu kedudukan sebenar bagi mengelakkan timbul rasa tidak puas hati terutama dari soal tuntutan jenazah dan pengkebumian," katanya.

Musa berkata jalinan kerjasama erat antara PDRM dan Mahkamah Syariah yang telah lama terjalin terutama dalam proses penyampaian waran tangkap akan terus dipertingkatkan lagi.

Katanya beliau akan memohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menambah jumlah jawatan bagi meletakkan pegawai-pegawai polis di Mahkamah Syariah untuk melancarkan lagi perjalanan di mahkamah itu.

-- BERNAMA
Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels