Bernama.com
Ekonomi 12 November, 2008 14:57 PM
 
Standard Chartered Mahu Kembangkan Aset Islamnya Kepada 20 Peratus Menerusi Saadiq


KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Standard Chartered Bank (Malaysia) Bhd menjangkakan aset kewangan Islamnya akan berkembang kepada 20 peratus dalam tempoh tiga hingga lima tahun daripada 11.4 peratus pada masa ini, terutamanya dengan pembukaan anak syarikat Islamnya iaitu Standard Chartered Saadiq Bhd.

Aset Islam bank itu ialah RM5.4 bilion setakat 31 Dis, 2007.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Julian Wynter berkata penubuhan Saadiq adalah sebahagian daripada komitmen bank untuk mengembangkan perniagaan perbankan Islamnya di dalam negara dan menyokong hasrat kerajaan untuk menjadi hab antarabangsa bagi kewangan Islam.

"Kami mahu mengembangkan francais perbankan Islam kami di sini seiring dengan pertumbuhan positif dalam pasaran kewangan Islam negara," kata beliau pada persidangan akhbar semalam.

Perniagaan Islam bank berkenaan mencatatkan pertumbuhan ketara pada 2007, melonjak 146 peratus daripada 2006.

Bank hari ini membuka pusat kewangan Saadiq pertamanya di Taman Tun Dr Ismail di sini sementara tiga lagi akan mula beroperasi dalam tempoh 12 bulan.

Secara keseluruhan, bank telah memperuntukkan RM50 juta untuk menubuhkan unit Islamnya dan keempat-empat cawangan berkenaan.

Saadiq menawarkan rangkaian menyeluruh melebihi 33 produk dan perkhidmatan inovatif berlandaskan Syariah iaitu dari hartanah dan pembiayaan persendirian sehinggalah ke pembiayaan korporat.

"Perkembangan ini bagus untuk kumpulan Standard Chartered yang telah bertapak di tiga rantau utama Asia, Afrika dan Timur Tengah," kata Wynter.

Di seluruh dunia, kumpulan itu mempunyai kehadiran mantap di lebih 50 peratus negara berpendudukan Islam, termasuk Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, Kuwait, Pakistan dan Bangladesh.

Mengenai tinjauan kewangan Islam global, Ketua Pegawai Eksekutif Chartered Saadiq Plc, Afaq Khan berkata perbankan Islan akan terus berkembang ekoran kadar pertumbuhan menggalakkan di negara-negara yang mempunyai pengaruh Islam.

"Kami tidak menyaksikan sebarang kelembapan ketara dalam kewangan Islam memandangkan ia terasing sepenuhnya daripada krisis subprima," kata beliau.

Standard Chartered ialah bank pertama di dalam negara yang menubuhkan tetingkap perbankan Islam di semua cawangannya pada 1993. Pada masa ini, ia mempunyai 37 cawangan seluruh negara.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels