Bernama.com
Am 29 Ogos, 2008 22:14 PM
 
Penutup Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Di Putrajaya


PUTRAJAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Setelah lebih dua minggu langit Putrajaya bermandikan percikan cahaya bunga api sempena Pertandingan Bunga Api Antarabangsa 2008 (MIFC 2008) anjuran Kementerian Pelancongan, tibalah kemuncak acara penuh warna-warni ini Jumaat malam.

Menurut satu kenyataan daripada penganjur, malam kemuncak atau 'Grand Finale' ini bakal menyaksikan persembahan bunga api bercirikan 'pyrotechnics' iaitu percikan bunga api diiringi alunan muzik selama 30 minit oleh pemenang MIFC 2007, pasukan dari negara Australia iaitu Howard and Sons, yang akan berkolaborasi dengan Ketua Pegawai Eksekutif/Penerbit Global2000 Sdn Bhd, Joe Ghazzal.

Pasukan Howard and Sons berpengalaman luas dalam merekacipta dan menghasilkan bunga api pyroteknik sehingga berjaya mengalahkan pasukan Malaysia, Jepun dan Itali untuk menjuarai pertandingan bertema 'Aurora Malaysia' pada tahun lepas. Pasukan ini bagaimanapun tidak menyertai pertandingan pada tahun ini.

Untuk persembahan Jumaat malam, pasukan ini dan Joe Ghazzal akan menggunakan teknik yang sama dengan membawa tema "Warna-Warni Malaysia" sejurus selepas pihak penganjur mengumumkan pemenang trofi Golden Merdeka MIFC 2008.

Tahun ini, sebanyak empat pasukan yang mewakili Malaysia, Kanada, China dan Sepanyol bertanding untuk merebut trofi ini.

Pasukan China cukup berpengalaman dan pernah muncul juara dalam pertandingan Bunga Api Antarabangsa 2006 Barcelona dan Persembahan Terbaik Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Rusia pada tahun lalu.

Pasukan Kanada, yang diketuai usahawan David Whysall, adalah juara Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Da Nang, Vietnam 2008 selepas menduduki tempat kedua pada Pertandingan Bunga Api Sedunia di Blackpool United Kingdom tahun lalu. Mereka mempertaruhkan tema "Music from the Stage and the Silver Screen" pada malam 20 Ogos lepas.

Pasukan Zamarano Caballer dari Sepanyol pula mempunyai sejarah penglibatan dalam persembahan bunga api selama 130 tahun. Pengalaman Miguel Zamarano Caballer yang meneraju syarikat ini selama 53 tahun diiringi dengan kejayaan dalam pelbagai pertandingan dan pesta di seluruh dunia selain turut menjadi pakar dalam penghasilan kesan bunyi khas iklan televisyen dan panggung wayang.

Bagi pasukan Pyro Splendour Sdn Bhd yang mewakili Malaysia pula, harapan untuk memenangi piala ini di tempat sendiri juga sudah pasti menjadi impian.

Mereka mempunyai sejarah 20 tahun dalam membuat persembahan bunga api di dalam dan luar negara seperti di temasya Sukan SEA ke-21 Kuala Lumpur, China National Celebration 1999 dan Singapore New Year Countdown pada 2004.

Bagi Suhailah Abdul Rahim, yang kini menetap di London, persembahan yang dibawa oleh pasukan Malaysia sangat mengujakan.

"Seolah-olah waktu terhenti ketika menyaksikan persembahan selama 25 minit tersebut. Saya tidak menjangka persembahan mereka begitu mengagumkan malah ia cukup bertenaga dan indah berbanding persembahan bunga api sempena tahun baru yang saya saksikan di bandar London saban tahun, katanya. "Malaysia Boleh!"

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels