Bernama.com
Am 21 Ogos, 2008 14:27 PM
 
286 Terima Darjah Kebesaran Daripada Yang Di-Pertuan Agong


KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Hakim Besar Malaya Datuk Alauddin Mohd Sheriff mendahului senarai 286 penerima darjah kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini sempena ulang tahun keputeraan Seri Paduka pada 7 Jun.

Alauddin adalah antara empat penerima darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri pada majlis istiadat penganugerahan bintang dan pingat di Balairong Seri, Istana Negara, di sini.

Tiga lagi penerima PSM ialah Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia Datuk Seri Mohamed Jawhar Hassan, Pengerusi Eksekutif CMY Capital (L) Ltd Datuk Chua Ma Yu dan Pengarah Urusan Melati Ehsan Holdings Berhad Datuk Yap Suan Chee.

Lapan orang menerima Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk. Mereka ialah Shukry Mohd Salleh, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Kamaruzaman Mohd Noor, Ketua Pengarah STRIDE Dr Abdul Ghaffar Ramli, Pesuruhjaya Suhakam Prof Dr Chiam Heng Keng, Presiden Persatuan Sikh Malaysia Dr Jasbir Sigh a/l Amar Sigh, Ketua Staf Angkatan Tentera Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Shahron Ibrahim, Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita Umno Datuk Faridah Abu Hassan dan Anggota Majlis Tertinggi Parti Progresif Penduduk Samson David Maman.

Selain itu, dua orang menerima Johan Mangku Negara (JMN), 12 Johan Setia Mahkota (JSM), 65 Kesatria Mangku Negara (KMN), 98 Ahli Mangku Negara (AMN) dan 97 Pingat Pangkuan Negara (PPN).

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels