Bernama.com
Sukan 04 Julai, 2008 19:48 PM
 
Empat Atlit Renang Kebangsaan Yakin Mara Ke Separuh Akhir Di Olimpik Beijing


Oleh Hilary Sebastian

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Empat atlit renang Malaysia yang telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Beijing bulan depan yakin untuk mara ke separuh akhir dalam acara masing-masing.

Setiausaha Kehormat Kesatuan Perenang Amatur Malaysia Edwin Chong berkata Bryan Nickson Lomas, Leong Mun Yee, Elizabeth Jimie dan Pandelela Rinong telah menetapkan sasaran mereka untuk melayakkan diri ke tahap itu.

"Dalam pusingan awal, mereka perlu menunjukkan persembahan "luarbiasa" untuk mengatasi saingan daripada perenang bertaraf dunia dari China, Russia, Amerika Syarikat, Australia, Jerman dan lain-lain," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, dengan azam yang kuat dan semangat yang tidak goyah, keempat-empat atlit renang itu yakin untuk mara ke separuh akhir dalam temasya sukan terbesar dunia itu.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan Malaysia memenangi pingat yang pertama dalam acara terjun itu, Edwin berkata untuk memenangi sebarang pingat ia adalah tugas yang mencabar.

"Ini adalah Sukan Olimpik. Mereka akan bersaing dengan atlit renang terbaik dunia dan untuk memenangi sebarang pingat adalah satu perkara terpuji tetapi jalan menuju kemenangan itu bergantung sepenuhnya kepada prestasi dan keyakinan diri yang tidak goyah semasa pertandingan," katanya.

Katanya keempat-empat atlit renang itu kini sedang menjalani latihan intensif di China dan mereka akan berlepas ke Beijing awal Ogos. Nickson Lomas akan mengambil bahagian dalam acara platform 10 meter. Dalam Sukan Olimpik Athens 2004, acara itu dimenangi oleh perenang dari China, Hu Jia, Mathew Helm (Australia) mendapat pingat perak dan Tian Liang dari China mendapat gangsa.

Sementara itu, Mun Yee dan Elizabeth akan berpasangan dalam acara terjun papan anjal segerak 3 meter wanita.

Untuk rekod, pemenang pingat emas acara itu di Athens adalah pasangan China, Wu Minxia dan Guo Jingjing dengan Vera Ilina dan Loulia Pakhalina (Rusia) mendapat pingat perak manakala gangsa pula dimenangi oleh Irina Lashko dan Chantelle Newberry dari Australia.

Dalam acara papan anjal 3meter wanita, Mun Yee dan Elizabeth akan bersaing secara berasingan.

Jingjing memenangi pingat emas bagi acara itu di Olimpik Athens manakala rakannya Minxia memenangi pingat perak dan gangsa dimenangi oleh Pakhalina.

Pandelela pula akan menyertai acara platform 10meter wanita berdepan saingan sengit dengan Newberry, pemenang pingat emas acara itu pada Sukan Olimpik Athens selain pemenang pingat perak Lao Lishi dari China dan Laoudy Tourky pemenang pingat gangsa dari Australia.

Dalam Sukan Olimpik Beijing nanti, acara terjun itu menawarkan lapan pingat emas dan ia akan diadakan di Pusat Akuatik Kebangsaan mulai 9 hingga 23 Ogos.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels