Bernama.com
Am 29 Jun, 2008 15:46 PM
 
Koperasi Tentera Cadang Bayar 12.25 Peratus Dividen


KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) bercadang membayar dividen 12.25 peratus kepada lebih 130,000 anggotanya tahun ini melibatkan RM60.25 juta dan sekali gus mengekalkan prestasi pulangan di paras 12 peratus selama 10 tahun berturut-turut.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin berkata koperasi itu mampu membayar dividen sebanyak itu kerana prestasi kewangan koperasi tahun lepas menujukkan pendapatan kendalian sebanyak RM159 juta berbanding RM94 juta tahun 2006, iaitu peningkatan sebanyak 69 peratus.

"Melalui peningkatan pendapatan ini, koperasi berjaya mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM139 juta berbanding RM78 juta pada tahun 2006," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Tentera yang ke-43 di Dewan Perhebat, Kem Sungai Buloh, di sini hari Ahad.

Muhammad Ismail berkata pencapaian itu amat membanggakan walaupun keadaan ekonomi negara sedikit terjejas sejak kebelakangan ini ekoran kesan kenaikan harga minyak di pasaran dunia.

Nilai aset koperasi juga meningkat kepada RM1.647 bilion berbanding RM1.093 bilion pada tahun sebelumnya iaitu peningkatan sebanyak RM554 juta atau 51 peratus.

Beliau berkata koperasi turut memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta untuk sumbangan bakti persekolahan, perubatan, skim insentif kecemerlangan, dermasiswa dan derma am.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels