Bernama.com
Am 03 April, 2008 00:13 AM
 
Kos Tunai Haji Kekal, Kata Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Kos menunaikan haji tahun ini tidak akan dinaikkan sekalipun harga petrol dunia meningkat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kos menunaikan haji sebanyak RM8,900 seorang kekal walaupun kos keseluruhan berjumlah RM10,000 seorang yang melibatkan suntikan dana RM1,100 seorang daripada Tabung Haji.

Dalam program wawancara "Bersama Menteri" yang disiarkan secara langsung di RTM1 Rabu malam, beliau berkata kos menunaikan haji di Malaysia rendah jika dibandingkan dengan negara lain iaitu tidak kurang RM10,500 bagi setiap jemaah bagi Khidmat Muasasah dan RM17,500 menggunakan pakej haji.

Beliau juga berkata sebuah kompleks Tabung Haji akan dibina di Kuala Terengganu bagi menampung jemaah haji dari negeri Pantai Timur sebelum mereka berlepas ke Mekah seperti Kompleks Haji di Kelana Jaya, Selangor bagi wilayah tengah dan di Johor Baharu bagi wilayah selatan.

Tabung Haji juga bercadang membina kompleks yang sama di Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels