Bernama.com
Am 08 Februari, 2008 16:04 PM
 
Lebih 2,000 Anggota Baru Penguatkuasa JPJ


MACHANG, 8 Feb (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan penambahan 2,078 anggota baru bagi bahagian penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi semua kategori.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata ia bertujuan menambah bilangan anggota sedia ada seramai 2,000 oranng yang tidak mencukupi.

"Sebilangan besar mereka dikehendaki bagi mengisi jawatan N17 iaitu pembantu peguatkuasa," katanya kepada pemberita ketika menyertai Ops Sikap ke-16 JPJ Kelantan sempena sambutan Tahun Baru Cina di sini hari ini.

Sementara itu beliau berkata mereka yang berminat untuk menjadi anggota penguatkuasa JPJ menerusi syarikat kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia boleh memohon menerusi JPA mulai sekarang.

Katanya mereka yang terpilih akan dilatih selama enam bulan di Akademi Latihan JPJ di Melaka selama enam bulan sebelum ditugaskan di mana-mana pejabat penguatkuasa JPJ di seluruh negara.

Beliau berkata JPJ bercadang akan membina dua buah lagi akademi iaitu di Kota Kinabalu dan Kuching.

Mengenai Ops Sikap yang dilancarkan sempena Tahun Baru Cina mulai 31 Jan hingga 14 Feb di seluruh negara, beliau berkata JPJ telah memeriksa 32,807 kenderaan sehingga semalam dan dari jumlah itu 4,115 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terutama tidak memperbaharui cukai jalan.

Solah berkata 170 kenderaan dan tujuh daripadanya di Kelantan disita yang sebahagiannya disebabkan pemilik tidak mempunyai lesen memandu.

Beliau berkata tujuh pemandu bas dan kereta yang berumur antara 21 dan 29 tahun ditahan oleh anggota Agensi Dadah Kebangsaan kerana memiliki pil kuda malam tadi.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels