Bernama.com
Am 27 Disember, 2007 17:24 PM
 
Kanak-Kanak Kashmir Belajar Abakus Cara Malaysia


Oleh P. Vijian

NEW DELHI, 27 Dis (Bernama) -- Kanak-kanak di Kashmir kini begitu berminat untuk mempelajari cara mengira menggunakan abakus atau cempoa menerusi kaedah Malaysia.

Kini terdapat lebih 2,000 murid-murid di Kashmir mempelajari cara tersebut untuk menyelesaikan masalah matematik sejak diperkenalkan di sana pada 2006.

Kaedah Mempelajari Aritmetik Tinggi Menerusi Abakus atau ALOHA yang diasaskan oleh seorang rakyat Malaysia pada 1993 yang mengambil kaedah dari China dan Taiwan dan kemudian diubah suai untuk kanak-kanak di Malaysia turut mendapat sambutan di India.

"Kita menerima sambutan baik dari kalangan ibu bapa di Kashmir kerana ia telah membantu menambah keyakinan anak-anak mereka sehingga tidak lagi takut dengan mata pelajaran Matematik.

"Mereka telah belajar bermain dengan angka yang telah membantu membina pemikiran analisis mereka," kata Pengarah ALOHA bagi Jammu dan Kashmir, Mubashir Wafai kepada Bernama.

Empat murid-murid terpandai ALOHA dari Kashmir, yang paling muda berumur enam tahun akan bertanding dalam pertadingan ALOHA peringkat kebangsaan India di Chennai hujung minggu ini.

Andleeb Fida, 12, yang akan turut bertanding berkata "Saya telah belajar sejak enam bulan lepas dan ia telah membantu menambah konsenterasi dan tahap keyakinan saya."

Bapanya Dr Fida Ahamed berkata anak perempuannya itu walaupun cerdik tetapi kurang keyakinan diri, tetapi setelah mengikuti program ALOHA, dia kini lebih yakin.

"Dia kini bukan sahaja dapat menumpukan perhatian dalam Maths tetapi juga pada mata pelajaran lain," katanya.

Pengarah Urusan ALOHA India, K. Kumaran berkata kini terdapat lebih 100,000 kanak-kanak yang mengikuti program ALOHA di India dan ia terus mendapat sambutan di seluruh pelusuk negara itu.

"Kita memperkenalkan pada 2002 di India dan kini ia meliputi 25 negeri dari Kashmir ke Kanniyakumari (Cape of Comorin). Program ini menjadi semakin popular.

"Ia membantu ke arah pemikiran lateral dan analitikal," katanya.

Silabus ALOHA didapati berupaya membantu menguatkan kemahiran kanak-kanak untuk mengira dengan pantas dan tepat.

Kini terdapat lebih 3,000 pusat ALOHA di negara seperti Thailand, Filipina, China, Australia, New Zealand, Oman, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat.

Kira-kira 2,500 kanak-kanak akan bertanding di Chennai termasuk 16 peserta dari Bangladesh dan 11 kanak-kanak terbaik akan mengambil bahagian pula di peringkat antarabangsa tahun depan.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels