Bernama.com
Am 05 Disember, 2007 14:21 PM
 
Talian Nur Bantu Orang Ramai Tangani Masalah Sosial


PUTRAJAYA, 5 Dis (Bernama) -- Orang ramai perlu memanfaatkan Talian Nur yang diwujudkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai kemudahan untuk melaporkan sebarang masalah sosial yang berlaku di sekeliling mereka.

Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata di samping menangani masalah sosial, talian itu juga merupakan satu kemudahan bagi membolehkan orang ramai mendapatkan bantuan atau membuat pertanyaan berhubung isu-isu kebajikan, keluarga dan masyarakat.

Katanya orang ramai boleh menghubungi Talian Nur itu dengan menelefon 15999 yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, bagi tujuan tersebut.

"Misalnya jika ada kes-kes penderaan, atau kes orang tua sakit atau daif di ceruk kampung dan tidak ada sesiapa yang menjaga, tidak tahu di mana nak cari pegawai kebajikan untuk dihubungi, telefon kita.

"Begitu juga jika ada kanak-kanak didera di rumah jiran atau di mana-mana saja, hubungi talian ini, dan kita akan hubungi pegawai kita, polis atau mana-mana pihak," katanya kepada pemberita sebelum majlis pelancaran talian tersebut di sini hari ini.

Majlis pelancaran talian itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Shahrizat seterusnya berkata beliau berharap orang ramai tidak menyalahguna talian itu kerana ia merupakan pusat panggilan sehenti bagi mereka yang perlu membuat aduan, dan mendapatkan khidmat nasihat berkaitan isu-isu sosial dan kebajikan.

Beliau berkata bagi setiap panggilan yang diterima, pihak pengurusan pusat panggilan akan merakam panggilan itu, mengumpul data dan tindakan selanjutnya akan diambil.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels