Bernama.com
Am 05 Disember, 2007 14:16 PM
 
Al-Janadiriah - Bangunan Paling Besar Disewa Tabung Haji Di Mekah


MEKAH, 5 Dis (Bernama) -- Bangunan Al-Janadiriah merupakan bangunan paling besar disewa oleh Tabung Haji di sini bagi menempatkan ibu pejabatnya dan tiga maktab (tempat penginapan) yang dapat menampung sehingga 7,700 jemaah haji Malaysia.

Konsul Haji Malaysia Shahruddin Abu Bakar berkata Tabung Haji sentiasa mempertingkatkan keselesaan tempat penginapan bagi membolehkan para jemaah hanya menumpukan kepada soal ibadat semata-mata.

Tahun ini, Tabung Haji berjaya mengurangkan jumlah bangunan sewa selepas mengambil langkah menyewa bangunan yang lebih besar dengan kemudahan lebih baik, kata Shahruddin kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan haji bagi musim haji 1428 Hijrah (2007) di sini hari ini.

Katanya lima tahun lalu Tabung Haji menyewa antara 30 dan 35 buah bangunan di Mekah untuk dijadikan tempat kediaman jemaah haji Malaysia tetapi jumlahnya telah dikurangkan kepada 20 buah tiga tahun lepas dan menurun kepada 16 buah tahun lepas.

"Tahun ini jumlahnya hanya 11 buah. Tabung Haji berpendapat tempat penginapan bagi jemaah haji Malaysia mesti ditingkatkan supaya bertaraf hotel," katanya yang juga Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia (Kebajikan).

Bangunan Al-Janadiriah merupakan sebuah bangunan yang masih baru serta antara bangunan paling besar di sekitar Masjidil Haram dan terletak hanya kira-kira 700 meter dari Masjidil Haram.

Shahruddin berkata Tabung Haji menyewa sesuatu bangunan berdasarkan kemudahan baik seperti bilangan lif yang mencukupi dan berfungsi dengan baik, mempunyai dewan yang besar, dapur, bilik air dalam bilik, surau, lobi yang luas, kantin, surau, tempat letak kenderaan di basemen, perkhidmatan dobi dan alat siaraya.

Tempat-tempat penginapan itu boleh menempatkan antara empat hingga tujuh orang jemaah haji sebilik dengan selesa, tambahnya.

Mengenai petugas sambilan musim haji, Shahruddin berkata Tabung Haji telah mengambil seramai 250 penduduk tempatan berketurunan Melayu termasuk orang Pattani dan Indonesia sebagai "rakan" Tabung Haji untuk membantu melayan serta menguruskan kebajikan jemaah haji Malaysia.

Katanya petugas sambilan ini dilahirkan di Mekah dan fasih berbahasa Arab untuk memudahkan urusan dengan agensi dan pihak berkuasa Arab Saudi.

Mengenai ibadah korban, beliau berkata Tabung Haji mengehadkan kuotanya kepada 7,000 ekor kambing sahaja kerana Tabung Haji tidak mampu mengendalikan lebih banyak daripada itu kerana tempoh untuk melakukan korban tiga hari sahaja, katanya sambil menambah bayaran korban ialah 350 riyal (RM1=SR1.116).

Tabung Haji juga akan menguruskan penyembelihan lebih 20,000 ekor kambing sebagai pembayaran "dam" oleh jemaah haji yang akan dilakukan selepas musim haji tahun ini dan diselesaikan sebelum musim haji akan datang.

Bayaran "dam" ialah 300 riyal (RM278).

Mengenai upah haji atau badal haji, terdapat 3,000 tempahan untuk melakukan badal haji dengan Tabung Haji iaitu waris mengupah orang lain untuk melakukan ibadat haji bagi pihak anggota keluarga yang terlalu uzur atau yang telah meninggal dunia.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels