Bernama.com
Am 25 Oktober, 2007 20:07 PM
 
Kerajaan Sedang Kaji Cadangan Naikkan Harga Tepung, Kata Shafie


KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Sekiranya kerajaan memutuskan untuk menaikkan harga tepung pelbagai guna yang dijual pada harga siling RM1.35 sekilogram sekarang, ia akan dibuat secara munasabah tanpa terlalu membebankan pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Mohd Shafie Apdal berkata kementerian sedang mengkaji secara mendalam cadangan pihak industri pengeluar tepung pelbagai guna untuk menaikkan harganya.

"Sekiranya ada kenaikan, ia akan dibuat secara munasabah tanpa terlalu membebankan pengguna," katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Raya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini hari ini.

Katanya mengikut perbandingan harga yang dibuat oleh kementerian itu, harga tepung pelbagai guna dijual sekitar RM2.10 hingga RM2.30 sekilogram di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia berbanding R1.35 hingga RM1.50 sekilogram di Malaysia.

Beliau turut menjelaskan bahawa kenaikan harga makanan yang menggunakan tepung gandum diperkaya seperti mee, kek, dan pastri baru-baru ini adalah kesan kenaikan harga tepung diperkaya di pasaran antarabangsa berikutan musim kemarau di Australia, antara negara pengeluar utama tepung itu.

Katanya kemarau yang melanda negara itu menyebabkan harga tepung diperkaya naik purata 70 peratus daripada US$235 setan metrik sebelum September kepada hampir US$400 setan metrik sekarang.

"Selain itu, harga minyak yang naik US$90 setong baru-baru ini juga memberikan kesan kepada harga import baru tepung itu sekarang," katanya.

Statistik KPDN&HEP menunjukkan harga tepung diperkaya naik 30 sen sekilogram September lepas sebelum pengumuman kenaikan harga sebanyak 60 sen sekilogram baru-baru ini.

Bagaimanapun, Shafie berkata, kenaikan harga tepung itu dijangka tidak lama berikutan musim kemarau yang hampir berakhir di Australia.

Tepung gandum diperkaya bukan barangan kawalan.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels