Bernama.com
Am 19 Oktober, 2007 19:20 PM
 
Vaksin Meningococcal Meningitis Untuk Jemaah Haji Halal


KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan hari ini memberi jaminan bahawa vaksin meningococcal meningitis yang akan diberikan kepada bakal jemaah haji adalah selamat dan halal.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata kementerian bertanggungjawab untuk memastikan vaksin yang digunakan itu bebas daripada bahan-bahan haram.

"Vaksin ini mengandungi `purified polysaccharides' daripada Neisseria Meningitidis serogroup A, C, W135 dan Y adalah diperakukan bahawa tiada bahan daripada haiwan termasuk khinzir digunakan dalam penyediaan vaksin ini," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bahan kimia `cystein hydrocholride' yang digunakan dalam penyediaan vaksin itu adalah berasal daripada bulu itik.

Beliau berkata sejak 2002 kerajaan Arab Saudi mewajibkan pelalian itu kepada semua jemaah haji dan umrah bagi melindungi mereka daripada jangkitan penyakit meningococcal meningitis kerana risiko jangkitannya adalah tinggi semasa musim haji dan umrah.

Beliau berkata bakal jemaah haji boleh mendapatkan suntikan vaksin itu di Klinik Kesihatan Kerajaan secara percuma.

Katanya penggunaan vaksin itu telah dibawa ke Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 27 Nov 2002 dan penggunaannya adalah dibenarkan.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels