Bernama.com
Am 09 Oktober, 2007 21:01 PM
 
Kajian Untuk Tentukan Keperluan Pekerja Asing Di Masa Depan, Kata Najib


PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) -- Satu kajian menyeluruh akan dijalankan bagi menentukan dasar pengambilan pekerja asing di masa akan datang dengan mengambil kira keperluaan negara dan permasalahan ekoran peningkatan bilangan mereka, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata kajian itu juga akan mengambil kira keperluan tenaga kerja di lima wilayah pembangunan ekonomi yang baru.

Kajian itu akan dijalankan oleh Kementerian Sumber Manusia dan dibantu oleh kementerian lain yang berkaitan dengan pekerja asing, katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing di sini.

Beliau berkata hasil kajian itu yang akan mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan, akan dibentangkan kepada jawatankuasa itu, bagi menggubal dasar pengambilan pekerja asing.

Sehingga 30 Sept lepas, bilangan pekerja asing yang sah di negara ini adalah sebanyak 2,021,099 orang dengan 35.9 peratus di sektor perkilangan, 17 peratus (perladangan), 15.8 peratus (pembantu rumah), 14.1 peratus (pembinaan), 9.5 peratus (perkhidmatan) dan 7.7 peratus (pertanian)

Mengikut warganegara, Indonesia (57.5 peratus), Nepal (11 peratus), Bangladesh (8.8 peratus) dan India (7 peratus), katanya.

Najib berkata mesyuarat itu juga bersetuju untuk mengambil pembantu rumah dari India, Nepal, Vietnam dan Laos bagi menampung permintaan yang tinggi terhadap pembantu rumah serta kesukaran mendapat pembantu rumah dari Indonesia.

Empat negara sumber pembantu rumah itu bagi menambah kepada negara sumber pembantu rumah yang sedia ada iaitu Indonesia, Filipina, Sri Lanka, Kemboja dan Thailand.

Mengenai perkara lain, Najib berkata jawatankuasa itu telah mengarahkan Kementerian Sumber Manusia menyiasat kes lebih 700 pekerja asing Bangladash mendakwa mereka ditipu oleh majikan mereka dan mengambil tindakan tegas sekiranya majikan melanggar Akta Pekerja.

"Kita tak boleh biarkan kes terus berlaku kerana ini akan mencemar nama Malaysia bukan sahaja dari segi masalah pekerja tetapi juga menyentuh mengenai pencemaran (pelanggaran) hak asasi manusia," katanya sambil menambah kata tindakan sedang diambil untuk menghantar mereka pulang.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels