Bernama.com
Am 25 Julai, 2007 23:51 PM
 
Pelbagai Langkah Atasi Masalah Bekalan Daging Sudah Diambil


PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sudah mengambil pelbagai langkah dalam usaha mengatasi masalah kekurangan bekalan daging yang dialami di beberapa negeri, termasuk Johor, Terengganu dan Kelantan, sejak beberapa bulan lalu.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata antaranya ialah meningkatkan import daging lembu beku dari China, Brazil, Uruguay, Amerika Syarikat, Argentina, New Zealand dan Australia.

Selain itu katanya beliau turut meminta supaya pengeksport serta pengimport meningkatkan pembekalan daging mereka dari sumber-sumber yang sedia ada, dan bukan hanya bertumpu kepada bekalan daging dari syarikat Allana Sons di India sahaja.

Allana Sons, yang membekal 60 hingga 70 peratus daripada daging kerbau bagi pasaran Malaysia, baru-baru ini berhadapan dengan masalah apabila dua daripada tiga lesen rumah penyembelihannya digantung selepas diaudit pada bulan April lalu, apabila ia didapati tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

"(Tapi) Jika ia (Allana) bersedia untuk membuat pembaikan, kita akan pergi balik untuk buat pemeriksaan semula awal bulan depan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat kabinet, di pejabat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di sini.

"Kita akan hantar pasukan kita bersama dengan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Jabatan Kesihatan untuk periksa balik (rumah penyembelihan) itu, kita harap semua sekali (masalah) selesai pertengahan bulan depan," tambahnya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa mengalu-alukan usaha pengeksport dari negara lain yang bersedia membekalkan daging ke Malaysia.

Beliau berkata pengeksport itu akan dibenarkan membawa masuk daging ke dalam Malaysia sekiranya rumah penyembelihan mereka diaudit terlebih dahulu, dan ia didapati menepati syarat-syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata mereka seharusnya mendapatkan bekalan daging yang cukup bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan daging yang ditimbulkan oleh syarikat Allana Sons di India itu.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels