Bernama.com
Ekonomi 18 Jun, 2007 18:42 PM
 
MAS Tawar Tambang Murah Dalam Kempen Tiga Bulan


KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Malaysia Airlines (MAS) mengumumkan kempen tiga bulan mulai 20 Jun, 2007 yang menawarkan tambang murah dari RM1 bagi perjalanan domestik dan RM10 bagi destinasi-destinasi antarabangsa.

Promosi itu adalah sebahagian daripada kempen "Let's Fly Malaysia" MAS, bertujuan memberikan ganjaran kepada pelanggannya sempena perayaan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara, kata syarikat penerbangan itu dalam kenyataan hari ini.

"Kita akan menawarkan tambang murah yang menakjubkan ke 100 destinasi kita, selain daripada banyak lagi pakej pelancongan dan promosi pelanggan yang menarik," kata pengerusi MAS, Datuk Dr Munir Majid.

Semasa kempen itu, 200,000 tempat duduk dengan tambang bermula dari RM1 akan ditawarkan di bawah promosi online, "50-hour Open House", mulai pukul 9.00 pagi 20 Jun hingga 11.00 pagi 22 Jun, kata MAS.

Tambang itu bermula dari RM1 bagi perjalanan dalam Semenanjung Malaysia, dan RM10 bagi perjalanan di antara Kuala Lumpur dan Malaysia Timur, di samping ke lima destinasi Asean iaitu Bangkok, Phuket, Cebu, Jakarta dan Phnom Penh.

Tempoh perjalanan adalah dari 3 Sept hingga 30 Sept, 2007, kata syarikat penerbangan itu.

MAS berkata promosi-promosi lain yang akan menyusul termasuklah "Supersavers" dan "Global Sale" menjelang hampirnya 31 Ogos, dan melengkapi tambang murah ini ialah pakej perjalanan harga diskaun Golden Holidays, inisiatif kelas perniagaan dan acara yang memberi fokus kepada pelanggan.

Maklumat terperinci mengenai promosi itu akan disediakan tidak lama lagi dan pelanggan-pelanggan boleh melayari laman web MAS di alamat www.malaysiaairlines.com.

Tambang itu tidak termasuk cukai lapangan terbang, surcaj bahan api dan bayaran-bayaran lain. Semua tambang itu juga hanya boleh digunakan untuk penerbangan sehala, jelas syarikat itu.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels