Bernama.com
Am 10 Jun, 2007 20:00 PM
 
Majlis Persandingan Diraja Brunei Berlangsung Penuh Istiadat


Daripada Nashir Mansor

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun (Bernama) -- Majlis Persandingan Puteri Sultan Brunei, Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bulqiah dengan Pengiran Khairul Khalil Pengiran Syed Jaafari berlangsung dengan meriah dan penuh istiadat Diraja.

Persandingan berlangsung di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman di sini, dimulakan sejurus keberangkatan tiba Sultan Hassanal Bolkiah dan Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar Hakim Mazhar kira-kira pagi tadi.

Selepas Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri-isteri mengambil tempat duduk masing-masing, empat lelaki yang digelar "Awang Awang" kemudian menyalakan empat batang lilin yang dipanggil "Dian Empat" iaitu lilin khas yang dinyalakan pada majlis Diraja, yang terletak di hadapan Singgahsana, tempat bakal pengantin DiRaja bersanding.

Ini disusuli dengan dua lagi Awang Awang masuk membawa sejenis perhiasan DiRaja berwarna keemasan yang dipanggil "Kasur Namat" dan diletakkan di antara "Dian Empat" yang siap dinyalakan tadi.

Selepas itu, majlis dimulakan dengan Yang Dipertua Adat Istiadat Brunei, Pengiran Lela Cheteria Najabah, Pengiran Anak Haji Abdul Aziz, memaklumkan kepada Sultan Hassanal Bolkiah bahawa majlis persandingan sudah bersiap sedia untuk dimulakan.

Sultan Hassanal Bolkiah kemudian menitahkan Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bulqiah untuk dibawa masuk ke Balai Singgahsana Indera Buana.

Pengiran Anak Puteri Majeedah Nuurul Bulqiah, yang berpakaian "kain tenunan Brunei", yang ditempah khas, dengan kedua-dua tangannya menggenggam sejambak bunga yang diperbuat daripada berlian, dengan diiringi oleh kerabat Diraja, kemudian dibawa masuk dan didudukkan di Singgahsana.

Kemudian, pengantin lelaki, Pengiran Khairul Khalil yang diapit Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia, Ustaz Awang Abdul Aziz, memasuki Balai Singgahsana Indera Buana.

Semasa tiba di Singgahsana, Sultan Hassanal Bolkiah kemudian menggenggam tangan kanan Khairul Khalil dan meletakkannya di atas kepala Pengiran Anak Puteri Majeedah Nuurul Bulqiah, diiringi dengan tembakan meriam 17 das.

Majlis persandingan kedua-dua mempelai berkenaan kemudian dimulakan dengan "Bacaan Salawat" oleh Mufti Kerajaan dan diakhiri dengan bacaan doa selamat.

Sempena majlis persandingan tersebut, kira-kira 5,000 tetamu yang terdiri daripada kerabat Diraja, orang kenamaan termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta pembesar negara, duta dan pesuruhjaya tinggi negara asing menghadiri majlis persandingan berkenaan.

Pasangan pengantin Diraja berkenaan, Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, diiringi kira-kira 700 orang dari istana, kemudian diarak mengelilingi Bandar Seri Begawan sepanjang lapan kilometer bagi membolehkan pelbagai lapisan rakyat menatap wajah serta mengucapkan tahniah kepada kedua-dua mempelai yang diijab kabulkan pada Khamis lalu.

Sepanjang laluan berkenaan yang bermula dari pintu istana, kira-kira 20,000 orang pelbagai lapisan rakyat dan pelajar berbaris di sepanjang lapan kilometer berkenaan bagi menyaksikan perarakan pengantin Diraja tersebut.

Pengiran Anak Puteri Majeedah Nuurul Bulqiah yang dilahirkan pada 16 Mac 1976, merupakan anak keempat Sultan Hassanal Bolkiah hasil perkawinannya dengan Pengiran Anak Hajah Saleha.

Baginda yang berkelulusan Sarjana dalam Pembangunan Persekitaran dari King's College of the University of London kini bertugas sebagai Pegawai Kanan di Jabatan Alam Sekitar Brunei.

Sementara itu, Pengiran Khairul Khalil pula yang dilahirkan pada 28 Feb 1975, merupakan anak kedua Pengiran Syed Jaafari dan Hajah Sarbanun Abdi Manaf.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels