Bernama.com
Ekonomi 05 April, 2007 14:13 PM
 
Kewangan Global Yang Tidak Menentu Terus Menjadi Cabaran Asean


CHIANG MAI (Thailand), 5 April (Bernama) -- Sepuluh tahun selepas kegawatan kewangan Asian, ketidakseimbangan semasa dan meningkatnya persekitaran kewangan yang tidak menentu terus kekal menjadi antara cabaran yang akan dihadapi oleh negara-negara Asean dalam meningkatkan kekuatan dan daya tahan kewangan serantau.

Menteri Kewangan Thailand yang baru Chalongphob Sussangkarn berkata semua 10 anggota Asean masih perlu meningkatkan usaha-usaha mereka untuk mengukuhkan sistem kewangan serantau dalam menghadapi kesemua risiko dan kemudahruapan kewangan.

"Kita juga perlu menyokong proses integrasi Asean dan menyumbang kepada inisiatif kerjasama kewangan di peringkat Asean Campur Tiga," kata beliau dalam ucapan aluannya di majlis makan malam rasmi bersempena dengan Mesyuarat Menteri-menter Kewangan Asean ke-11 di sini malam tadi.

Teks ucapannya dikeluarkan pagi ini semasa para menteri memulakan mesyuarat rasmi mereka.

Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop mengetuai delegasi Malaysia pada mesyuarat berkenaan.

Chalongphob berkata krisis kewangan yang bermula di Thailand turut mewujudkan peluang-peluang di mana hubungan serantau semakin erat menerusi pembentukan Inisiatif Chiang Mai (CMI) pada bulan Mei 2000, terdiri daripada China, Jepun dan Korea (Asean Campur Tiga).

Beliau berkata CMI ialah inisiatif kerjasama kewangan yang begitu simbolik untuk rantau ini kerana ia memperlihatkan iltizam negara-negara rantau ini untuk bekerjasama meningkatkan kekuatan dan daya tahan kewangan serantau.

Semalam, para pegawai kanan bersetuju memulakan "Rizab Terkumpul Urus Kendiri" (SMPR), sambungan daripada CMI, untuk menggunakan rizab mereka bagi membangunkan projek utama di rantau berkenaan.

Ketika berlakunya kegawatan ekonomi, Thailand, Indonesia dan Korea Selatan terpaksa mendapatkan bantuan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan mereka mengalami keperitan ekonomi dan penyusunan semula kewangan melibatkan kos-kos sosial yang ketara, tambah menteri itu.

Chalongphob berkata Hala Tuju bagi Integrasi Monetari dan Kewangan Asean (RIA) yang ditubuhkan pada tahun 2003 memperlihatkan kejayaan usaha bersama negara-negara anggota Asean dalam mencapai integrasi kewangan yang memberangsangkan.

"Dengan keempat-empat hala tuju untuk pembangunan pasaran modal, kerjasama kewangan, perkhidmatan kewangan dan liberalisasi modal, kita berada di laluan yang betul dalam menggerakkan Asean ke arah rantau ekonomi yang bersepadu," kata beliau.

Matlamat utama integrasi ekonomi dan kewangan ialah menjadi Komuniti Ekonomi Asean (AEC) menjelang 2015, tambah beliau.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels