Bernama.com
Rencana 05 Mei, 2006 12:39 PM
 
Hutan Temenggor: Diancam Kepupusan Flora, Fauna


Oleh Zabidi Ishar

GERIK, Mei 5 (Bernama) -- Sesiapa yang menuju Gerik melalui Lebuh Raya Timur-Barat sudah pasti tidak akan terlepas dari pandangan yang mengkagumkan iaitu Pulau Banding yang dilingkari sebuah tasik yang besar.

Tasik itu adalah Tasik Temenggor, tasik buatan manusia yang kedua terbesar di Malaysia selepas Tasik Kenyir.

Pengguna laluan sepanjang 100 kilometer itu, dari Jeli di Kelantan hingga Gerik di Perak, biasanya akan berhenti untuk menghayati keindahan alam semulajadi di sepanjang lebuhraya tersebut.

Lebuhraya ini diapit oleh hutan hujan Khatulistiwa yang tebal, dipercayai telah wujud selama 130 juta tahun, lebih tua daripada hutan Amazon di Amerika Selatan.

Hutan itu, yang kaya dengan tumbuhan dan haiwan, juga mempamirkan satu pemandangan yang menakjubkan.

Sebelum tahun 1991, hutan ini tidak "diganggu" kerana perintah berkurung yang dikenakan atas dasar keselamatan.

TEMENGGOR, LEMBAH BELUM

Mungkin orang tidak berapa arif jika disebut "Hutan Temenggor" tetapi ramai yang kenal dengan nama seperti Lembah Belum, Royal Belum atau Tasik Banding.

Hutan seluas 300,000 hektar itu merupakan satu "taman idaman" untuk para pencinta alam, kerana terdapat pelbagai flora dan fauna di situ.

Mamalia yang hampir pupus seperti badak sumbu, gajah dan harimau belang boleh ditemui di situ, termasuk 10 spesis burung enggang yang jarang di jumpai.

Bagi tumbuhan pula, Hutan Temenggor merupakan sebuah taman untuk tiga jenis bunga terbesar di dunia iaitu rafflesia dan spesis paku pakis (cycads) yang wujud sejak zaman Jurassic.

Terdapat juga banyak kolam air panas dalam hutan tersebut.

"Sekiranya di Australia, pelancong boleh melihat haiwan kanggaru melintasi jalan tetapi di sini, mereka boleh melihat gajah," kata pemandu pelancung Mohammad Mohd Yusof kepada Bernama baru-baru ini.

Tetapi terdapat kesedihan di sebalik tutur-kata Mohammad.

Sebabnya? Aktiviti pembalakan yang berleluasa, jika dibiarkan pasti akan mengancam kewujudan hutan itu.

HUTAN DIGONDOL, KESAN PADA EKOSISTEM

Dipercayai kira-kira 40 peratus daripada hutan itu telah dilahap oleh pembalak-pembalak dan 20 peratus lagi hanya menantikan masa kemusnahan.

"Hutan itu bukan lagi seperti dahulu...haiwan liar banyak berpindah ke tempat lain. Pokok-pokok dan tumbuhan lain telah dirosakkan. Kesemuanya disebabkan aktiviti pembalakan yang berleluasa," kata Mohammad, 46, dengan perasaan pilu.

Mengimbas kembali pada masa hutan itu masih belum dicerobohi, Mohammad, berkata: "Ia sungguh menakjubkan kerana kerap kali kita boleh terserempak dengan gajah, rusa dan haiwan lain, ketika mereka pergi ke tepi tasik untuk minum air.

"Kini, jarang sekali kita dapat lihat haiwan-haiwan itu berbuat demikian".

Baru-baru ini, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) mengadakan satu lawatan ke hutan itu sempena dengan kempen "Selamatkan Belum-Temenggor 2006" yang dilancarkan 20 April lalu.

Pengembaraan sepanjang Sungai Gadong di bahagian utara tasik itu memyaksikan pemandangan bukit-bukit yang telah digondol, akibat pembalakan tidak terkawal yang memberi impak buruk kepada ekosistem hutan.

ORANG ASLI, KESUSAHAN

Beberapa tahun dahulu, air sungai memang jernih. Sekarang ia menjadi keruh dan dasar sungai juga bertukar menjadi cetek.

Kayu balak dan batang pokok telah tersangkut dicelah batu-batu di sungai itu, menghalang air daripada mengalir. Ini telah memusnahkan hidupan sungai termasuk ikan.

"Sungai ini pernah ada banyak ikan, seperti kelah, sebarau, toman, kaloi, baung, terubok, patung dan tengas tetapi hari ini, semuanya telah hilang. Ke mana perginya? Saya sendiri tak tahu," kata Mohammad.

Kata Tok Batin Kawah dari perkampungan Orang Asli Chueh;

"Lebih daripada 6,000 Orang Asli dari kaum Jahai dan Temiar menghadapi kesusahan kerana tiada haiwan untuk diburu...sekiranya tiada lagi ikan untuk ditangkap, apa akan terjadi kepada kami? Di mana kami hendak cari makanan?

"Kita bukan penduduk bandar yang dapat gaji setiap bulan. Kami bergantung kepada hutan untuk bekalan makanan, untuk terus hidup," kata ketua kampung Orang Asli itu.

MUSIM HUJAN, BANJIR LUMPUR

Mengikut Tok Batin Kawah, beberapa tahun dahulu tidak sukar bagi penduduk Orang Asli untuk mencari makanan.

"Sekarang mereka terpaksa masuk ke dalam hutan, ada kalanya sehingga satu minggu untuk memburu binatang dan mencari makanan lain."

Beliau berkata sebelum ini, mereka hanya perlu untuk pergi ke sungai untuk menangkap ikan dengan menggunakan lembing, jaring atau batang pancing.

"Apa yang tinggal untuk ditangkap dan diburu? Sungai itu tidak mempunyai ikan, kalau ada pun yang telah mati akibat air yang kotor.

"Lumpur dan tanah daripada kerja pembalakan memasuki sungai. Bagaimana ikan-ikan boleh hidup?".

Aheng, 56, iaitu bapa mertua Tok Batin Kawah, berkata adakalanya sampan para penduduk melanggar balak-balak atau benteng pasir masa berdayung sepanjang sungai itu pada waktu malam.

Katanya semasa musim hujan, lumpur dari kawasan-kawasan yang digondol akan melanda apa saja yang ada dan ini adalah amat berbahaya kepada penduduk kampung.

SELAMATKAN BELUM TEMENGGOR 2006

"Jika berjalan kaki, ia akan mengambil masa selama dua atau tiga hari untuk sampai ke Gerik. Semasa kecemasan pula, kita perlu menggunakan sampan kerana ia adalah lebih cepat.

"Tetapi menggunakan bot pada waktu malam pula sangat bahaya memandangkan keadaan sungai itu. Inilah yang sering menghantui kami," kata Aheng.

Sementara itu Jawatankuasa Sains dan Pemuliharaan MNS sedang mencari kaedah terbaik untuk melindungi dan memulihara Hutan Temenggor.

Kata pengerusi jawatankuasa tersebut, Anthony Sebastian, MNS akan mengadakan kempen besar-besaran untuk menyelamatkan hutan itu sempena Hari Bumi Sedunia.

Menurut beliau, mulai April 20 sehingga enam bulan selanjutnya, MNS akan menjadikan kempen Selamatkan Belum Temenggor 2006 sebagai agenda terpenting badan bukan kerajaan tersebut.

Sepanjang tempoh itu, MNS akan mengedarkan lebih daripada 50,000 poskad khas kepada orang ramai untuk dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali.

TAMAN NEGERI

Poskad-poskad itu, di dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, akan diberikan kepada orang ramai secara percuma.

Poskad itu boleh didapati di semua kedai Body Shop dan ibu pejabat MNS di JKR 641, Jalan Kelantan, Bukit Persekutuan, 50480 Kuala Lumpur.

Sebastian berkata kempen ini meminta Kerajaan Perak mewartakan Hutan Temenggor di Lembah Belum sebagai Taman Negeri seperti yang telah dibuat pada kawasan 36,000 hektar yang telahpun diwartakan di Royal Belum.

"Dengan mewartakannya, hutan itu akan selamat daripada pencerobohan pembalak-pembalak serta kehidupan Orang Asli dapat dilindungi," katanya.

Kempen ini juga telah menarik perhatian stesen televisyen satelit Astro yang akan menayangkan beberapa program mengenai hutan tersebut.

Poskad-poskad khas yang dialamatkan kepada Menteri Besar Perak tertera: "Belum Temenggor merupakan lanskap hutan tropika yang paling bermakna kepada kita. Besarlah harapan kami agar Kerajaan Perak melindunginya dengan menghalang kerja-kerja pembalakan di hutan tertua ini. Kami menyeru agar kerja-kerja pemuliharaan dijalankan demi generasi akan datang.

"Hutan yang kekal akan bertambah nilainya dengan aliran masa, manakala pembalakan melenyapkan warisan semula jadi kita".

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels