Bernama.com
Am 07 Disember, 2005 12:04 PM
 
Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam Masih Jadi Isu


KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Tahun 2005 semakin hampir ke penghujungnya, namun perkhidmatan awam di negara ini masih terus menjadi sasaran rungutan sesetengah rakyat, terutama yang berkaitan dengan isu keberkesanan sistem penyampaiannya.

Selaku pengguna, golongan berkenaan melihat sistem itu masih lagi ditakuk lama walaupun sejak lebih 20 tahun yang lalu kakitangan awam telah dilonggok dengan pelbagai dasar, sistem dan slogan termasuk kad perakam waktu, Bersih, Cekap dan Amanah, Penerapan Nilai-Nilai Islam, Budaya Kerja Berkualiti dan Piagam Pelanggan.

Menurut mereka sistem penyampaian yang lemah itu menyebabkan rakyat khususnya golongan tua atau yang kurang berpendidikan terpaksa menunggu begitu lama untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan, sama ada kerana disengajakan atau kerana dikehendaki mengisi pelbagai jenis borang.

Ini, kata mereka adalah kerana perkhidmatan awam di negara ini masih dibelenggu oleh pelbagai kerenah birokrasi.

Sama ada betul atau tidak rungutan itu, yang pastinya ia lahir daripada harapan rakyat yang semakin tinggi terhadap perkhidmatan awam sejajar dengan perkembangan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT).

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri akur dengan harapan rakyat, justeru ia menjadi tumpuan utamanya sebaik mengambil alih teraju kepimpinan negara pada 31 Oktober 2003, dan isu itu terus diberi penekanan oleh beliau sepanjang 2005.

Ketika membentang Bajet 2006 di Parlimen 30 September lepas, Abdullah berkata antara langkah-langkah yang akan diambil kerajaan bagi mempastikan keberkesanan sistem penyampaian itu ialah menambah bilangan kakitangan beberapa jabatan atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mempercepatkan urusan yang berkait langsung dengan rakyat seperti tukar syarat tanah, pecah sempadan dan proses pembayaran cukai taksiran.

Selain menggesa agar kerenah birokrasi diminimumkan Abdullah juga mengeluarkan arahan agar semua jabatan dan agensi kerajaan mewujudkan pusat membuat keputusan bagi membolehkan kes-kes kecil dan remeh diluluskan serta merta tanpa perlu dirujuk ke ibu pejabat.

Bagi Abdullah sistem penyampaian yang cepat lagi berkesan adalah penting untuk mengelak kemarahan rakyat selaku pengguna perkhidmatan berkenaan.

Katanya apabila urusan dengan sektor awam tidak dapat dilakukan dengan cepat kerajaan sudah pasti akan menjadi sasaran sumpah seranah rakyat, terutama jika ia ada kaitan dengan urusan perniagaan.

Daripada sudut lain, kakitangan perkhidmatan awam di negara ini terus mendapat pembelaan kerajaan. Dalam Bajet 2006, selain bayaran bonus sebulan gaji Abdullah turut mengumumkan pemberian bantuan sara hidup antara RM50 dan RM150 sebulan untuk kakitangan kategori tertentu, bergantung kepada bandar atau kawasan tempat mereka bertugas, berkuatkuasa Januari tahun depan.

Di samping itu, pelbagai faedah lain akan turut dinikmati kakitangan awam mulai tahun depan termasuk kenaikan Imbuhan Tetap Khidmat Awam kepada RM300 sebulan bagi kategori tertentu serta elaun penyelia dan guru Kelas Quran dan Fardhu Ain antara RM500 dan RM750 sebulan.

Dengan wujudnya pelbagai pembelaan daripada kerajaan itu, kini terserahlah kepada kakitangan sektor awam sendiri untuk membuktikan sejauh mana pemimpin dan pengurusnya dapat mengubahsuai dasar-dasar dan amalan semasa dalam sistem pentadbiran dan sejauh mana usaha-usaha penambahbaikan yang dijalankan memberi kesan positif kepada rakyat.

Walaupun pelbagai langkah telah diambil bagi penambahbaikan kepada sistem dan prosedur pentadbiran, termasuk memendekkan masa pemberian sesuatu kelulusan dan memudahkan sistem dan prosedur kerja, masih banyak yang perlu dilakukan untuk menghapuskan terus kerenah birokrasi dalam perkhidmatan awam.

Dalam konteks itulah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengingatkan kakitangan awam agar jangan merasakan kedudukan mereka selesa walaupun telah mencapai piawaian negara sedang membangun, tetapi sebaliknya hendaklah terus mempastikan bahawa sistem penyampaian terus bertambah baik pada tahun depan dan seterusnya.

Najib percaya jika kakitangan awam boleh memaksimumkan potensi modal insan dalam perkhidmatan awam, Malaysia boleh mencapai status negara maju sebelum 2020.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels